Remaja didakwa bunuh bayi dilahirkan, teman lelaki didakwa sembunyi kelahiran

Seorang remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping atas pertuduhan membunuh bayi perempuan yang baru dilahirkan, minggu lepas, di belakang sebuah rumah di Kampung Panchor, Pantai Remis, dalam daerah Larut Matang dan Selama. Nurul Iman Najiha Abdullah, 19, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Prabakaran.
Pertuduhan terhadap Nurul Iman Najiha adalah mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh mangsa antara 14 hingga 16 Nov lepas. Dia juga didakwa bersama-sama dengan teman lelakinya, Mohamad Aidil Eikmal, 19, menyembunyikan kelahiran itu dengan cara mengebumikan mayat bayi secara sulit pada tarikh dan lokasi yang sama, mengikut Seksyen 318 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama.
Mohamad Aidil Eikmal mengaku bersalah atas pertuduhan sembunyi kelahiran, manakala Nurul Iman Najiha memohon untuk dibicarakan. Timbalan Pendakwa Raya Farihah Adilah Faizal menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan menyembunyikan kelahiran, manakala tiada jaminan ditawarkan bagi pertuduhan membunuh yang dihadapi Nurul Iman Najiha.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Nurul Hanis Mohd Zaini yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan ini adalah kesalahan pertama mereka; pasangan itu masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan dan buruh binaan. Nurul Iman Najiha turut dilaporkan mempunyai masalah mental tetapi tidak pernah mendapatkan rawatan, katanya. Prabakaran kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan dua penjamin dan menetapkan 4 Jan untuk sebutan semula kes bagi membolehkan Nurul Iman Najiha melantik peguam serta mendengar laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman ke atas Mohamad Aidil.