Reformasi pendidikan perlu jadi budaya, bukan bergantung kepada menteri - Fadhlina

Sumber: Sinar Harian

PUTRAJAYA, - Reformasi pendidikan tidak seharusnya bergantung pada individu yang menerajui Kementerian Pendidikan (KPM); ia perlu menjadi budaya dalam ekosistem pendidikan negara bagi memastikan kesinambungan perubahan dan kejayaan sistem pendidikan. Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Nyala: Kisah Reformasi Pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Rabu.

Menurut beliau, reformasi perlu dilaksanakan secara konsisten dan diterjemahkan melalui perubahan sebenar dalam bilik darjah, hubungan antara guru dengan murid serta setiap keputusan pemimpin sekolah. Beliau menegaskan reformasi tidak seharusnya sekadar tercatat dalam dokumen atau bergantung kepada pelaksanaan sesuatu program, sebaliknya perlu menjadi amalan seluruh warga pendidikan.

"Reformasi juga tidak boleh bergantung pada siapa yang menjadi menteri, (sebaliknya) ia mesti menjadi budaya dan seluruh ekosistem pendidikan negara. Kita perlu terus berani menilai, memperbaiki dan memastikan setiap perubahan membawa hasil kepada anak-anak kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis itu di PICC. Mengulas lanjut, Fadhlina berkata reformasi pendidikan bukan sekadar membabitkan perubahan fizikal seperti penyediaan kelas digital, pemasangan papan pintar atau penghawa dingin di sekolah. Sebaliknya, perubahan paling bermakna perlu bermula di bilik darjah kerana mampu memberikan impak besar kepada murid.

“Perubahan paling penting ialah perubahan dalam bilik darjah kita, (kerana) ia merupakan sekecil-kecil reformasi yang boleh kita lakukan. (Namun), pada masa sama ia boleh menjadi sebesar-besar reformasi apabila anak-anak kita mendapat manfaatnya daripadanya,” kata beliau.

Beliau menyatakan kejayaan reformasi perlu diukur berdasarkan perubahan yang dapat dirasai murid termasuk pembentukan akhlak, peningkatan pencapaian akademik dan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta tahap keselamatan mereka di sekolah. Murid menurutnya tidak mengetahui selok-belok urusan mesyuarat atau pentadbiran sekolah, sebaliknya mahu melihat perubahan yang memberi manfaat kepada kehidupan dan pembelajaran mereka.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata Nyala diwujudkan sebagai platform untuk mengiktiraf usaha reformasi warga pendidikan di seluruh negara, merangkumi sekolah di kawasan pedalaman, bandar dan pinggir bandar. Beliau menjelaskan penilaian program itu menggunakan instrumen SKAS dengan ukuran serta penanda aras tersendiri, dipantau rapi oleh Jemaah Nazir.

Beliau menegaskan Jemaah Nazir tidak seharusnya dilihat sekadar mencari kesilapan, sebaliknya membimbing warga pendidikan, mengangkat martabat guru dan membantu meningkatkan kecemerlangan sekolah. "Jemaah Nazir bukan orang yang ditakuti tetapi orang yang dilihat sebagai suri teladan dalam profesion pendidikan," katanya.

Fadhlina turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan termasuk guru, pemimpin sekolah, anggota kumpulan pelaksana dan pegawai pendidikan atas sumbangan mereka dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan negara. Beliau berharap pengiktirafan menerusi Nyala tidak menjadi titik noktah kepada usaha itu, sebaliknya menjadi pemangkin kepada pencapaian lebih besar demi masa depan pendidikan negara.