Real Madrid, Barcelona gagal berdamai berhubung kenyataan Perez

Real Madrid dan Barcelona gagal mencapai persetujuan dalam sesi pendamaian berhubung kenyataan Presiden Los Blancos, Florentino Perez mengenai skandal pengadilan Negreira, menurut sumber daripada kelab Catalan itu kepada AFP hari ini.
Sesi itu susulan saman yang difailkan Barcelona pada 12 Jun terhadap Perez berhubung kenyataannya pada Mei. Ketika itu, beliau menuduh juara Sepanyol berkenaan berpakat untuk mendapatkan “layanan” daripada pengadil.
Barcelona berkata saman itu bertujuan meminta Perez menarik balik beberapa kenyataan yang didakwa tidak benar, memfitnah serta menjejaskan imej dan reputasi kelab. Kelab itu turut memberi amaran akan membuat laporan jenayah atas dakwaan fitnah jika saman tersebut tidak ditangani sewajarnya.
Sebelum sesi pendamaian, Presiden Barcelona, Joan Laporta berkata peluang diberikan kepada seseorang untuk membetulkan kenyataan yang mungkin tersilap atau keterlaluan. Jika peluang itu tidak digunakan, katanya, kelab melihatnya sebagai tanda niat jahat dan akan meneruskan prosiding.
Kegagalan mencapai persetujuan itu membolehkan Barcelona membuat laporan jenayah terhadap Perez berhubung kenyataannya. Punca utama kemarahan kelab itu ialah sidang media pada 12 Mei, ketika Perez mengumumkan pemilihan Presiden Real yang kemudian dimenanginya. Beliau mengulangi dakwaan terhadap Barcelona berkaitan “kes Negreira”.
Mahkamah Sepanyol sedang menyiasat dakwaan pembayaran kira-kira €7.5 juta (RM33 juta) oleh Barcelona sepanjang hampir dua dekad kepada syarikat milik Jose Maria Enriquez Negreira, bekas individu nombor dua dalam hierarki pengadilan bola sepak Sepanyol.
Siasatan itu bertujuan menentukan sama ada pembayaran berkenaan digunakan untuk mendapatkan kelebihan dalam persaingan. Barcelona menafikan dakwaan itu dan berkata bayaran dibuat semata-mata bagi mendapatkan laporan analisis prestasi pengadil.