Ray-Ban, Meta diarah berhadapan tindakan undang-undang di Jerman berhubung kaca mata pintar

Berlin: Pertubuhan perlindungan pengguna Jerman (vzbv) berkata pada Selasa bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Meta dan pengeluar Ray-Ban berhubung kebimbangan privasi data berkaitan kaca mata pintar berkuasa AI. Ketua vzbv, Ramona Pop, berkata peranti boleh merekod gambar dan audio secara tidak disedari. Beliau menambah bahawa kaca mata pintar menimbulkan risiko perlindungan data yang ketara sama ada terhadap orang sekeliling mahupun pengguna sendiri.
vzbv berhujah bahawa pembeli berpotensi kaca mata tersebut tidak dimaklumkan dengan secukupnya bahawa penggunaannya boleh melanggar Peraturan Perlindungan Data Umum (GDPR) Eropah. “Produk mesti direka bentuk supaya orang boleh menggunakannya mematuhi peraturan perlindungan data dan hak pihak ketiga kekal dilindungi,” kata Pop. Kaca mata pintar ini dipasarkan oleh pelbagai pengeluar cermin mata bersekutu dengan syarikat teknologi, berupaya mengambil gambar, video dan rakaman audio, serta siaran langsung.
Para pengeluar berikrar cahaya LED pada kaca mata itu menghalang orang di sekeliling daripada dirakam tanpa pengetahuan mereka, tetapi penyokong pengguna berhujah ia tidak cukup untuk melindungi pengguna daripada rakaman yang tidak diingini. “Cahaya putih berkedip yang kecil hanya beberapa milimetre tidak cukup untuk memberi isyarat kepada orang awam bahawa mereka sedang dirakam,” kata Pop. Pertubuhan itu berkata mereka telah memfailkan saman terhadap pengeluar Ray-Ban, EssilorLuxottica, di mahkamah Berlin dan merancang tindakan serupa terhadap gergasi teknologi AS, Meta, yang memiliki WhatsApp, Facebook dan Instagram. Kedua-dua syarikat belum memberikan ulasan ketika ini.