Anwar: Rasuah masalah sistemik, perlu ketegasan berterusan

Sumber: Harian Metro
Anwar: Rasuah masalah sistemik, perlu ketegasan berterusan
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan rasuah sebagai masalah sistemik yang memerlukan komitmen dan ketegasan berterusan semua pihak untuk dibanteras. Beliau berkata demikian dalam program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan malam ini menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik.

Program itu turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS. Anwar berkata, usaha memerangi rasuah bukan perkara mudah kerana amalan itu sudah berakar umbi dalam sistem, namun kerajaan perlu terus bertindak tegas tanpa menjadikan soal populariti sebagai pertimbangan utama.

“Rasuah bagi saya dalam negara ini sudah sistemik. Saya warisi keadaan yang sistemik. Jadi oleh itu kita mesti terus tegas, terus jalan walaupun popular atau tidak, itu soal kedua,” katanya.

Beliau berkata, cabaran membanteras rasuah lebih besar daripada yang dijangkakan. Oleh itu, kesedaran mengenai kepentingan integriti perlu dipupuk sejak awal, khususnya dalam kalangan generasi muda yang disifatkannya sebagai harapan negara untuk membawa perubahan dan menjamin masa depan Malaysia.

Anwar berkata, beliau melaksanakan pelbagai program bagi mendekati golongan muda, termasuk mengadakan sesi pertemuan di institusi pengajian tinggi. Usaha itu, katanya, bertujuan menyemai idealisme yang berteraskan nilai integriti.

“Ini supaya ada idealisme dan mereka (golongan belia) menjadi harapan kita. Kalau generasi Z atau Y dapat diyakinkan, maka masa depan kita lebih terjamin. Itu harapan saya,” katanya.

Menjawab dakwaan mengenai perbezaan layanan terhadap individu berpengaruh yang dikaitkan dengan rasuah, Anwar menegaskan beliau tidak akan melindungi sesiapa yang disiasat atau didakwa atas kesalahan berkenaan. Beliau berkata prinsip kedaulatan undang-undang mesti dihormati dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bebas menjalankan siasatan tanpa campur tangan pihak berkepentingan.

Sebagai contoh, beliau menyebut bekas setiausaha politik kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang turut berdepan tindakan undang-undang berkaitan kes rasuah. Anwar berkata beliau tidak campur tangan dalam perkara itu dan rakan-rakannya dalam Jemaah Menteri mengetahui pendiriannya untuk tidak mempertahankan mereka yang terbabit dengan rasuah.

“Saudara bayangkan orang rapat dengan saya itu apabila disiasat, tentu saya tanya apa dia ini. Dia beritahu saya tetapi saya kata saya tak campur. Maka dia didakwa. Ada pernah ke kes seperti itu berlaku? Tidak dan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri tahu saya tidak akan pertahankan (mereka yang terlibat rasuah),” katanya.

Menjelang 2027, Anwar berharap setiap rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab dan amanah masing-masing bagi memastikan pembangunan negara terus berlandaskan integriti, tanpa mengira kedudukan atau peranan. Menurutnya, tanggungjawab membina negara bukan hanya pada pemimpin dan penjawat awam, tetapi turut dipikul mahasiswa, masyarakat dan institusi keluarga.

Beliau turut berkata cabaran negara tidak seharusnya dilihat melalui perbezaan kaum, sebaliknya perlu dihadapi bersama dengan memperkukuh prinsip, nilai dan akhlak masyarakat. Anwar menyeru rakyat supaya tidak saling membenci dan bersama-sama membaiki keadaan.

“Masalah kita bukan soal kaum. Jangan benci satu sama lain. Masalah kita ini masalah prinsip dan akhlak. Jadi kita perlu baiki bersama, kita bina kekuatan kerana kita punyai sepertimana saya tegaskan, potensi luar biasa untuk mengangkat martabat negara ini,” katanya.

Panel program itu terdiri daripada Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan; serta usahawan dan pencipta kandungan digital, Adam Shamil.

Turut menjadi panel ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas, Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee; dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.