Anwar: Rasuah masalah sistemik, perlu ketegasan berterusan

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan rasuah di negara ini sebagai masalah sistemik yang memerlukan komitmen dan ketegasan berterusan daripada semua pihak. Perdana Menteri berkata, usaha membanterasnya juga perlu disertai pembinaan kesedaran mengenai integriti, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Beliau berkata, usaha memerangi rasuah bukan mudah kerana amalan itu sudah berakar umbi dalam sistem. Kerajaan, katanya, perlu terus bertindak tegas tanpa menjadikan populariti sebagai pertimbangan utama.

“Rasuah bagi saya dalam negara ini sudah sistemik. Saya warisi keadaan yang sistemik. Jadi oleh itu kita mesti terus tegas, terus jalan walaupun popular atau tidak, itu soal kedua,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam program Dialog Negara yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini. Program itu turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Beliau berkata, cabaran membanteras rasuah ternyata lebih besar daripada jangkaan. Sehubungan itu, kesedaran mengenai kepentingan integriti perlu dipupuk sejak awal, terutama dalam kalangan belia yang disifatkannya sebagai harapan negara untuk membawa perubahan.

Anwar berkata, golongan muda berperanan dalam memastikan masa depan Malaysia lebih terjamin. Beliau turut melaksanakan pelbagai program untuk mendekati mereka, termasuk mengadakan sesi pertemuan di institusi pengajian tinggi bagi menyemai idealisme berteraskan nilai integriti.

“Ini supaya ada idealisme dan mereka (golongan belia) menjadi harapan kita. Kalau generasi Z atau Y dapat diyakinkan, maka masa depan kita lebih terjamin. Itu harapan saya,” katanya.

Menjawab persoalan mengenai dakwaan perbezaan layanan terhadap individu berpengaruh yang dikaitkan dengan rasuah, Anwar menegaskan bahawa beliau tidak akan melindungi sesiapa yang disiasat atau didakwa atas kesalahan berkenaan.

Beliau berkata, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dihormati dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus diberi kebebasan menjalankan siasatan tanpa campur tangan pihak berkepentingan.

Sebagai contoh, Anwar berkata, bekas setiausaha politik kanannya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, turut berdepan tindakan undang-undang berkaitan kes rasuah tanpa campur tangan beliau.

“Saudara bayangkan orang rapat dengan saya itu apabila disiasat, tentu saya tanya apa dia ini. Dia beritahu saya tetapi saya kata saya tak campur. Maka dia didakwa. Ada pernah ke kes seperti itu berlaku? Tidak dan rakan-rakan saya dalam Jemaah Menteri tahu saya tidak akan pertahankan (mereka yang terlibat rasuah),” katanya.

Menjelang 2027, Anwar berharap setiap rakyat Malaysia melaksanakan tanggungjawab dan amanah masing-masing bagi memastikan pembangunan negara terus berteraskan integriti, tanpa mengira kedudukan atau peranan dalam masyarakat.

Katanya, tanggungjawab membina negara bukan hanya terletak pada pemimpin dan penjawat awam, tetapi turut digalas mahasiswa, anggota masyarakat serta institusi keluarga.

Anwar berkata, cabaran negara tidak seharusnya dilihat dari sudut perbezaan kaum, sebaliknya ditangani bersama dengan memperkukuh prinsip, nilai dan akhlak masyarakat.

“Masalah kita bukan soal kaum. Jangan benci satu sama lain. Masalah kita ini masalah prinsip dan akhlak. Jadi kita perlu baiki bersama, kita bina kekuatan kerana kita punyai sepertimana saya tegaskan, potensi luar biasa untuk mengangkat martabat negara ini,” katanya.

Program Dialog Negara menampilkan Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan; serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.

Turut menjadi panel ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas, Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee; dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.