Anwar: PRU16 perlu diadakan sebelum Februari 2028

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu diadakan sebelum Februari 2028, namun tarikh khusus belum ditetapkan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di ibu negara pada Rabu.
Ketika ditanya sama ada pilihan raya itu akan berlangsung sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan, Anwar meminta semua pihak bersabar. Beliau berkata PRU16 boleh diadakan sebelum atau selepas sambutan berkenaan.
“Secara umum, mesti diadakan sebelum Februari 2028, lebih kurang. Jadi, sabarlah.
“Dia sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah. Dia tak ada lebih daripada itu,” katanya dalam Program Dialog Negara.
Mengulas kemungkinan perubahan dalam pentadbiran sekiranya diberi mandat sekali lagi, Anwar berkata komposisinya bergantung pada keadaan, sokongan dan mandat yang diterima parti-parti politik.
“Komposisi pentadbiran nanti itu, kita tengok keadaan dan dukungan dan mandat yang diberikan kepada parti-parti,” katanya.
Anwar turut menyatakan hasrat untuk terus mengangkat martabat Malaysia dengan memanfaatkan pengalaman dan kekuatan sedia ada jika diberi mandat menerajui negara sekali lagi. Beliau juga meletakkan harapan tinggi terhadap keupayaan anak muda dalam usaha meningkatkan kedudukan negara di peringkat antarabangsa.
“Saya pencinta negara, saya yakin dengan keupayaan negara, saya meletakkan harapan yang sangat tinggi kepada anak-anak muda.
“Saya mahu Malaysia ini sekarang ini terangkat, tapi biar menjadi satu negara yang hebat dan gagah di rantau dan di dunia. Itu cita-cita saya,” katanya.