Anwar minta semua pihak bersabar mengenai tarikh PRU16

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak bersabar menunggu tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), yang menurutnya akan diadakan sebelum Februari 2028. Beliau berkata pilihan raya itu boleh berlangsung sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan tahun depan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata PRU16 tidak akan melangkaui tempoh berkenaan, selaras dengan tempoh penggal pentadbiran kerajaan. Beliau menjawab soalan mengenai pilihan raya itu dalam program Dialog Negara yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.
“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah... ia juga sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah. Ia tidak ada lebih daripada itu,” katanya.
Program itu turut disiarkan secara serentak menerusi Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS. Sejak kebelakangan ini, segelintir pihak mendesak supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU16 diadakan lebih awal dan mandat baharu diperoleh daripada rakyat.
Mengulas kemungkinan beliau terus menerajui negara sekiranya diberi mandat sekali lagi, Anwar berkata komposisi kerajaan selepas pilihan raya bergantung pada keputusan PRU16 dan sokongan rakyat terhadap parti-parti politik.
Beliau berkata, jika diberi peluang meneruskan pentadbiran, hasratnya adalah menggunakan pengalaman dan kekuatan sedia ada untuk mengangkat martabat Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Komposisi kita tak boleh tentu sebab kita tengok keadaan dan sokongan serta mandat yang diberikan kepada parti-parti. Tetapi kalau saya, tentulah saya nak teruskan dan tentunya dengan pengalaman yang ada, dengan kekuatan yang ada dapat mengangkat martabat Malaysia,” katanya.
Anwar turut menyatakan keyakinan terhadap keupayaan negara serta harapan kepada golongan muda. Beliau berkata mahu Malaysia diangkat menjadi negara yang hebat dan gagah di rantau ini serta dunia.
Dalam program sama, beliau berkata hujah berkaitan agama perlu dinilai berdasarkan ilmu dan fakta sahih, dan bukan diterima bulat-bulat sebagai pandangan muktamad. Menurutnya, pendekatan dakwah perlu berteraskan penguasaan ilmu, namun ada pihak menggunakan agama sebagai alat politik sehingga mengelirukan masyarakat yang kurang memahami perbezaan antara hukum agama dengan pandangan politik.
“Kasihan rakyat kita yang menggunakan agama yang pemahamannya agak dangkal, dia terima sebagai yang qat'i (muktamad) yang sudah tetap dan tidak boleh dirombak,” katanya.
Beliau berkata, sesetengah perkara yang dianggap muktamad sebenarnya ialah pendapat politik yang boleh berubah mengikut kepentingan semasa. Anwar berkata, ada pihak yang menerima pandangan itu kerana ia dikaitkan dengan tok guru, sedangkan ia bukan ketetapan agama.
Perkembangan media sosial, katanya, turut menimbulkan cabaran apabila sesiapa sahaja boleh tampil seolah-olah pakar dan memberikan tafsiran sendiri mengenai isu agama, termasuk atas kepentingan politik. Masyarakat, katanya, perlu menyemak, menilai dan membahaskan pandangan berdasarkan sumber serta fakta yang jelas, tanpa mengira sama ada ia dikemukakan pembangkang atau pemimpin kerajaan.
Anwar berkata, menerima sesuatu pandangan secara membuta tuli tanpa usul periksa boleh menghalang pemikiran kritis dan merendahkan kedudukan agama Islam dalam masyarakat.
Antara panel program itu ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak, Pengarah Strategi Kumpulan KRA Amir Fareed Rahim, Pegawai Perubatan merangkap pempengaruh media sosial Dr Malar Santhi Santherasegapan dan Usahawan serta Pencipta Kandungan Digital Adam Shamil.
Turut menjadi panel ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group Dr Madiha Fuad, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal, Pendakwah Bebas Izzhar Nazri, Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.