Anwar minta semua pihak bersabar, PRU16 sebelum Februari 2028
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak bersabar menunggu tarikh Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), yang menurutnya akan diadakan sebelum Februari 2028, ketika menjawab soalan dalam program Dialog Negara yang disiarkan malam ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata PRU16 boleh berlangsung sama ada sebelum atau selepas sambutan Hari Kebangsaan tahun depan. Bagaimanapun, pilihan raya itu tidak akan melewati Februari 2028, selaras dengan tempoh penggal pentadbiran kerajaan.
“PRU16 mesti diadakan sebelum Februari 2028, begitu lebih kurang. Jadi sabarlah...ia juga sama ada sebelum Hari Kebangsaan ataupun sesudah.
“Ia tidak ada lebih daripada itu,” katanya ketika menjawab soalan mengenai pilihan raya berkenaan dalam program yang disiarkan menerusi TV1 dan aplikasi RTMKlik.
Program itu turut disiarkan secara serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS. Sejak kebelakangan ini, segelintir pihak mendesak supaya Parlimen dibubarkan bagi membolehkan PRU16 diadakan lebih awal untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.
Mengulas kemungkinan beliau terus menerajui kepimpinan negara sekiranya mendapat mandat sekali lagi, Anwar berkata komposisi kerajaan selepas pilihan raya bergantung kepada keputusan PRU16 dan sokongan rakyat terhadap parti-parti politik.
Beliau berkata, sekiranya diberi peluang meneruskan pentadbiran, hasratnya adalah untuk menggunakan pengalaman dan kekuatan sedia ada bagi terus mengangkat martabat Malaysia di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Komposisi kita tak boleh tentu sebab kita tengok keadaan dan sokongan serta mandat yang diberikan kepada parti-parti. Tetapi kalau saya, tentulah saya nak teruskan dan tentunya dengan pengalaman yang ada, dengan kekuatan yang ada dapat mengangkat martabat Malaysia,” katanya.
Anwar berkata beliau mencintai negara dan yakin terhadap keupayaan Malaysia. Beliau turut meletakkan harapan tinggi kepada golongan muda serta mahu negara itu menjadi negara yang hebat di rantau ini dan dunia.
Dalam program sama, Anwar berkata masyarakat perlu menilai hujah berkaitan agama berdasarkan ilmu dan fakta yang sahih, bukan menerima pandangan politik secara bulat-bulat. Katanya, pendekatan dakwah sepatutnya berteraskan penguasaan ilmu, namun agama ada kalanya dijadikan alat politik sehingga mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata keadaan itu khususnya memberi kesan kepada mereka yang kurang memahami perbezaan antara hukum agama dengan pandangan politik. Sesuatu pendapat politik, katanya, boleh berubah mengikut kepentingan semasa, tetapi ada yang menganggapnya sebagai ketetapan muktamad.
“Kasihan rakyat kita yang menggunakan agama yang pemahamannya agak dangkal, dia terima sebagai yang qat'i (muktamad) yang sudah tetap dan tidak boleh dirombak.
“Padahal kenyataannya ini kan pendapat, pendapat politik. Sebab itu kadang-kadang dalam politik itu dua tahun sekali diubah fatwanya, tetapi orang anggap benda ini daripada tok guru, dia ikut betul. Padahal ini pandangan politik,” katanya.
Anwar turut menyentuh cabaran media sosial, yang membolehkan sesiapa sahaja tampil seolah-olah pakar dan mengemukakan tafsiran sendiri mengenai isu agama, termasuk bagi kepentingan politik.
Beliau berkata masyarakat perlu membudayakan amalan menyemak, menilai dan membahaskan sesuatu pandangan dengan merujuk sumber serta fakta yang jelas, tanpa mengira sama ada pandangan itu datang daripada pembangkang atau pemimpin kerajaan.
Menurutnya, penerimaan sesuatu pandangan tanpa usul periksa bukan sahaja menghalang pemikiran kritis, malah boleh merendahkan kedudukan agama Islam dalam masyarakat.
Program Dialog Negara menampilkan Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah, Datuk Ahyat Ishak; Pengarah Strategi Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim; Pegawai Perubatan dan pempengaruh media sosial, Dr Malar Santhi Santherasegapan; serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital, Adam Shamil.
Panel lain ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group, Dr Madiha Fuad; Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal; Pendakwah Bebas, Izzhar Nazri; Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia, Jason Wee; dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali.- Bernama