ECRL merentasi lima Perdana Menteri, tiga Yang di-Pertuan Agong

KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan penghargaan kepada bekas pemimpin negara dan semua pihak yang memastikan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan sehingga berjaya disiapkan. Baginda bertitah, projek mega itu melalui tempoh pentadbiran lima Perdana Menteri dan tiga Yang di-Pertuan Agong.
Baginda berkata projek ECRL mula dicadangkan pada 2016 oleh kepimpinan ketika itu, khususnya bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Projek berkenaan kemudian diteruskan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Dalam erti kata lain, lima Perdana Menteri dan tiga Yang di-Pertuan Agong sudah berkhidmat sepanjang tempoh pembinaan projek ini, termasuk diri saya sendiri,” titah baginda ketika berucap pada majlis pembukaan Stesen KotaSAS, di sini, hari ini.
Al-Sultan Abdullah bertitah, sebelum menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 2019, baginda turut mengikuti perbincangan mengenai ECRL sebelum pembinaan projek itu bermula. Baginda masih mengingati majlis pecah tanah yang diadakan di KotaSAS pada 2017.
Susulan pertukaran kerajaan pada 2018, timbul pelbagai khabar angin dan spekulasi mengenai kemungkinan projek itu dikaji semula. Baginda berkata tidak berhasrat mengulas secara terperinci, namun mengikuti perkembangan yang berlaku pada ketika itu.
Baginda turut berkongsi bahawa pada tempoh berkenaan, baginda berpeluang bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Datuk Seri Darwis Abdul Razak, buat kali pertama. Baginda menerima taklimat terperinci mengenai projek itu dan menyarankan supaya pembinaannya diteruskan.
Baginda menzahirkan penghargaan kepada bekas pemimpin negara serta semua pihak yang terbabit dalam memastikan ECRL berjalan mengikut perancangan sehingga berjaya disiapkan. Menurut titah baginda, projek itu sudah mencapai tahap 99 peratus siap, seperti dinyatakan lebih awal oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, walaupun berlaku beberapa kelewatan berbanding jadual asal.
Al-Sultan Abdullah turut menyifatkan senyuman tetamu yang hadir pada majlis berkenaan sebagai gambaran betapa bermaknanya detik itu selepas penantian bertahun-tahun. Baginda berkata, orang ramai akhirnya dapat melihat dan merasai sendiri pengalaman berada di stesen serta menaiki tren ECRL.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah. Hadir sama Shamsul Azri, Darwis dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) menghubungkan Kota Bharu dengan Lembah Klang, merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor. Fasa Satu sepanjang 520 km menghubungkan Kota Bharu dengan Gombak, manakala Fasa Dua menghubungkan Gombak dengan Pelabuhan Klang.
Fasa kedua projek itu dijangka siap menjelang Disember 2027 dan operasinya dijadualkan bermula pada Januari 2028.