Program Yakin MADANI bawa manfaat kepada rakyat, KUSKOP perkasakan keusahawanan di Pulau Pinang

Program Yakin MADANI di Balik Pulau akan berlangsung pada 28 dan 29 November di Kompleks Sukan Balik Pulau, dengan pengisian menarik untuk manfaat masyarakat setempat. Program ini bertujuan memaknai harapan rakyat peringkat Pulau Pinang melalui variasi aktiviti dan penyampaian maklumat program kerajaan kepada hadirin.
Program dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri. Ia turut berfungsi sebagai platform untuk memperkukuh hubungan kerajaan dengan rakyat serta memperluas akses kepada peluang ekonomi dan keusahawanan bagi masyarakat setempat.
Selaras dengan peranan KUSKOP dalam menerajui pembangunan ekosistem keusahawanan dan koperasi negara, pengisian berkaitan usahawan dan perniagaan turut diberi penekanan untuk menyokong pertumbuhan ekonomi setempat. Antara aktiviti utama termasuk Jualan RAHMAH MADANI, Jualan Agro MADANI, kaunter bergerak kerajaan, semakan bantuan dan saringan kesihatan.
Pengunjung juga berpeluang meneroka peluang pendidikan dan kerjaya melalui pameran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta Mini Karnival Kerjaya, disertai pelbagai aktiviti santai seperti sukan rakyat, zumba dan Warisan Walk. Program turut menampilkan pertukaran topi keledar, pertukaran minyak hitam motosikal, inisiatif beras MADANI, pesta makanan viral, pertandingan e-sukan, pertunjukan motorsport serta Himpunan Kelab RXZ Wanita Malaysia, dengan kemuncak persembahan konsert dan hiburan untuk seisi keluarga.
Program Yakin MADANI dilihat sebagai platform mendekatkan kerajaan dengan rakyat melalui penyampaian maklumat, perkhidmatan dan inisiatif kerajaan, sambil memberi peluang kepada masyarakat menikmati pelbagai manfaat secara langsung. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal merasmikan program pada 29 November (Ahad) pada jam 1.30 petang.