Anwar mahu lebih banyak wacana suburkan dialog matang

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap lebih banyak program berunsur wacana dianjurkan bagi memberi pencerahan, merungkai kekeliruan dan mencetuskan percambahan idea. Beliau menyatakan harapan itu selepas menyertai Dialog Negara Khas: “Di Sebalik Keputusan…” yang disiarkan menerusi RTM dan saluran media tempatan pada 9 malam tadi.
Anwar berkata program seperti itu dapat menyuburkan budaya dialog yang matang dan terbuka. Menurut beliau, kematangan demokrasi sesebuah negara turut dinilai melalui kesediaan pemimpin mendengar, menjawab dan menerima teguran rakyat dengan penuh keinsafan serta rasa tanggungjawab.
Dalam hantaran di Facebook malam ini, beliau berkata dialog berkenaan memberinya peluang menjawab pelbagai persoalan yang dikemukakan moderator dan panelis daripada pelbagai segmen masyarakat. Wadah itu juga membolehkannya memperjelas dasar, pertimbangan dan keputusan Kerajaan MADANI dalam mengemudi negara.
Pada masa sama, kata Anwar, sesi itu memberi ruang untuk menyelami keresahan, harapan dan aspirasi rakyat. Program berkenaan menampilkan barisan panelis yang mengemukakan soalan berkaitan dasar, pertimbangan serta keputusan kerajaan kepada Perdana Menteri.
Antara perkara yang dibincangkan ialah jaminan hak penduduk asal dalam pembangunan semula bandar, perkhidmatan kesihatan awam dan pendidikan kesihatan mental di sekolah. Cadangan penubuhan dana kekayaan berasaskan kecerdasan buatan (AI) turut disentuh.
Sesi itu juga membincangkan usaha membanteras rasuah, kebebasan bersuara mahasiswa, penempatan penjawat awam serta Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).