Pergerakan Wanita GPS sambut positif peningkatan calon wanita bagi PRN Sarawak

KUCHING: Pergerakan Wanita Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyambut baik peningkatan bilangan calon wanita yang diketengahkan gabungan itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13. Ketua Wanita GPS, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pertambahan itu dilihat sebagai perkembangan positif yang membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada golongan wanita untuk memainkan peranan dalam kepimpinan negeri.
Beliau menjelaskan calon wanita yang diketengahkan merangkumi muka baharu serta penyandang, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri untuk menawarkan khidmat kepada rakyat. “Pertambahan itu adalah sesuatu yang kami syukuri. Dan yang sangat penting apabila sudah dicalonkan dan nanti menang, ialah kita terus memberikan perkhidmatan kepada orang yang telah memberikan sokongan kepada kita, khususnya di kawasan yang diwakili dan juga kepada Sarawak secara amnya,” katanya.
Fatimah ditemui media selepas Pengumuman Senarai Calon GPS bagi PRN Sarawak ke-13, di sini, pada Rabu. Beliau turut menekankan bahawa perkara paling penting selepas seseorang calon yang memenangi pilihan raya ialah melaksanakan amanah dengan memberikan perkhidmatan berterusan kepada rakyat. Selain itu, beliau yang juga penyandang dan calon bagi kerusi DUN Dalat, mengingatkan calon wanita supaya bekerja keras, sentiasa merendah diri dalam komuniti serta berpegang teguh kepada prinsip integriti.
“Apabila rekod perkhidmatan kami sebagai wakil daripada golongan wanita itu bagus, insya-Allah, ia akan membuka lebih banyak ruang dan peluang kepada wanita kerana rekod prestasi wanita adalah baik. Ini ibarat memecahkan siling kaca (breaking the glass ceiling) dan menjadi laluan kepada golongan wanita muda pada masa hadapan. Sejurus selepas menang, kita berkhidmat sehingga pilihan raya akan datang. Inilah yang kita pegang, iaitu perkhidmatan kepada rakyat bukan sahaja ketika pilihan raya tetapi sepanjang masa,” tambahnya.
Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg sebelum itu mengumumkan jumlah calon wanita meningkat kepada lima orang berbanding empat pada PRN12.