GPS umum 82 calon PRN Sarawak, 11 muka baharu disenaraikan
Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Rabu mengumumkan kesemua 82 calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, termasuk 11 muka baharu atau kira-kira 14 peratus daripada jumlah calon keseluruhan. Pengumuman dibuat oleh Pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kuching.
Abang Johari berkata langkah menampilkan muka baharu yang melibatkan gabungan golongan profesional dan pemuda daripada kesemua parti komponen adalah sebahagian daripada usaha meremajakan parti serta memberi peluang kepada barisan pelapis kepimpinan negeri. “Saya mengucapkan terima kasih kepada penyandang yang telah berkhidmat mewakili GPS pada penggal lepas dan berundur diri bagi memberi laluan kepada muka baharu. Ini adalah langkah untuk kita meremajakan GPS,” katanya dalam sidang media selepas pengumuman calon.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas pendirian beberapa parti dalam Kerajaan Perpaduan, termasuk Barisan Nasional (BN), PKR dan Amanah yang tidak bertanding pada PRN kali ini, demi memelihara kestabilan politik negeri. Abang Johari, yang juga Premier Sarawak dan Presiden PBB, mengesahkan beliau akan mempertahankan kerusi DUN Gedong bagi penggal kedua selepas menyandang kerusi DUN Satok selama sembilan penggal sebelum ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 28 November, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember. Dalam PRN Sarawak 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala PSB memperoleh empat kerusi dan DAP dua kerusi. GPS dianggotai PBB, SUPP, PRS dan PDP.