Anak jati Batu Danau kembali berbakti selepas 30 tahun berkhidmat

KUCHING: Selepas tiga dekad menabur bakti dalam perkhidmatan awam negeri Sarawak, bekas Kontroler Kualiti Alam Sekitar, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Datuk Jack Liam kini menuju gelanggang politik sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi N80 Batu Danau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13. Beliau adalah anak jati Kampung Bidang, Limbang dan menganggap peluang berkenaan sebagai langkah pengalaman baharu, di samping menyatakan penghargaan kepada kepimpinan GPS atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili kawasan tersebut.
“Yang pastinya saya akan membuat penilaian terlebih dulu sebagai seorang calon baru, apakah pembangunan yang telah diadakan, yang telah dilaksanakan, dan yang sedang dalam pelaksanaan dan juga apa lagi yang diperlukan, pembangunan-pembangunan yang diperlukan di kawasan Batu Danau. Selepas itu kita akan membawalah ataupun mengenal pasti pembangunan-pembangunan yang perlu diangkat ataupun dilaksanakan di kawasan Batu Danau,” katanya kepada Astro AWANI.
Jack, 55, mempunyai rekod perkhidmatan selama 30 tahun dalam sektor awam negeri, merangkumi 27 tahun bersama Jabatan Hutan Sarawak dan tiga tahun tujuh bulan di NREB. Beliau juga mengimbas kembali kelayakan asasnya, dengan pendidikan rendah di SRK Batu Danau sebelum menimba ilmu di Kolej Tun Datu Haji Tuanku Haji Bujang, Miri. Dari segi kelayakan akademik, beliau memegang Ijazah Sarjana Muda Sains Perhutanan dalam Pengurusan Hutan daripada Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Sarjana Pengurusan Alam Sekitar dengan pengkhususan Perancangan Pembangunan daripada UNIMAS pada 2005.
Beliau menegaskan komitmennya untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara adil dan saksama kepada semua komuniti di Batu Danau. Dalam konteks sejarah pilihan raya tersebut, Batu Danau dimenangi GPS pada PRN Sarawak ke-12 (2021) melalui Palu @ Paulus Palu Gumbang dengan 3,030 undi, majoriti 706 undi, menewaskan Ali Adap (Parti Sarawak Bersatu), Racha Balang (PKR) serta Petrus Bulan (Bumi Kenyalang).