Polis minta bantuan kesan empat remaja perempuan hilang di Kota Kinabalu

Sumber: Harian Metro
Polis minta bantuan kesan empat remaja perempuan hilang di Kota Kinabalu
Gambar: Harian Metro

KOTA KINABALU: Polis memohon bantuan orang ramai untuk mengesan empat remaja perempuan berusia antara 14 hingga 17 tahun yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di sekitar daerah ini sejak 22 Oktober lalu.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam kenyataan hari ini memaklumkan, seorang daripada remaja itu dilaporkan hilang sejak bulan lalu, manakala tiga lagi sejak awal bulan ini.

Remaja berkenaan ialah Lorna, 17, dari Kampung Numbak, One Borneo, Manggatal, yang dilaporkan hilang pada 22 Oktober lalu. Olivia, 16, dari Taman Richdar, Manggatal, pula dilaporkan hilang sejak 7 November.

Nadyana, 16, dari Kampung Warisan Kalansanan, Inanam, dilaporkan hilang sejak 8 November, manakala Farha Nabila, 14, dari Kampung Sinulihan, Inanam, hilang sejak 9 November lalu.

Menurut kenyataan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan mereka diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu menerusi talian 088-529222 atau balai polis berhampiran.

Orang ramai turut diminta berkongsi hebahan berkenaan bagi membantu usaha mengesan keempat-empat remaja itu. Polis menghargai kerjasama dan keprihatinan masyarakat dalam membantu usaha berkenaan.