PM minta pelajar baca dua buku sepanjang cuti akhir persekolahan

Sumber: Astro Awani
PM minta pelajar baca dua buku sepanjang cuti akhir persekolahan
Gambar: Astro Awani

Putrajaya: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa pelajar membaca sekurang-kurangnya dua judul buku sepanjang cuti sekolah akhir tahun bagi menyemai budaya ilmu dalam kalangan generasi muda. Beliau berkata budaya membaca perlu dipupuk secara berterusan dan tidak seharusnya diketepikan walaupun pelajar kini didedahkan dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Beliau turut meminta Kementerian Pendidikan memastikan semua guru, pengetua dan guru besar menggalakkan pelajar membaca bahan bacaan bersesuaian sepanjang tempoh cuti sekolah. Menurut beliau, bagi cuti bulan Disember, kementerian perlu memberi peringatan kepada semua pihak berkenaan. “Bukan tak payah bagi assignment, homework, anak-anak cuti kan. Tetapi pastikan ada kalau cuti dua bulan atau satu bulan setengah, anak-anak mesti diberi judul buku yang wajib dibaca,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Prakarsa AI Pendidikan Negara “AI Temu AI” dan Majlis Peluncuran CikguILMU oleh YTL AI Labs di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini. Anwar turut menegaskan bahwa penguasaan teknologi AI perlu diseimbangkan dengan pembentukan akhlak, keperibadian dan nilai kemanusiaan.

Dalam perkembangan berkaitan, peluncuran prakarsa AI Pendidikan Negara itu merangkumi tiga inisiatif utama iaitu DELIMa 3.0, Panduan Literasi AI KPM dan Cikgu ILMU yang dibangunkan oleh YTL AI Labs serta dikuasakan oleh ILMU, AI Malaysia. Ketiga-tiga inisiatif itu saling melengkapi dalam memperkukuh ekosistem pendidikan digital negara, termasuk memodenkan kaedah pengajaran dan pembelajaran serta menyediakan pengalaman pembelajaran lebih interaktif kepada murid.