Anwar mahu kejayaan Farm Fresh jadi contoh perkukuh keterjaminan makanan
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kejayaan Farm Fresh Bhd yang menerima sokongan modal awal daripada Khazanah Nasional Bhd dijadikan contoh dalam membangunkan syarikat berpotensi, bagi memastikan industri makanan negara terus mampan.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata pendekatan membantu syarikat berpotensi tinggi pada peringkat awal sebelum beralih kepada entiti baharu apabila perniagaan mencapai kematangan dan kejayaan, wajar dijadikan rujukan untuk memperkukuh keterjaminan makanan negara.
“Kita berbangga dengan Farm Fresh kerana bukan sahaja ada di sini, malah telah berkembang ke beberapa negara lain,” katanya dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri: “Di Sebalik Keputusan..” yang disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam ini.
Beliau menjawab soalan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh, Azmi Zainal, mengenai pendekatan kerajaan mengimbangi usaha melindungi pengguna dengan sokongan terhadap daya maju pengeluar makanan. Soalan itu turut menyentuh peningkatan kos pengeluaran akibat ketidaktentuan global.
Anwar berkata industri makanan dan pertanian negara berdepan tekanan besar susulan ketidaktentuan geopolitik, termasuk konflik membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat serta perang Rusia–Ukraine.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan kos pengangkutan perkapalan meningkat sehingga 10 kali ganda, sekali gus menaikkan kos input import seperti fosfat yang melalui laluan strategik termasuk Selat Hormuz.
“Semua negara di Asia, malah di Eropah kini menghadapi ketegangan politik dan sosial akibat kenaikan harga barang. Ini sebahagiannya kerana dasar fiskal negara (masing-masing) dan sebahagian lagi kerana kenaikan harga barangan import,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan Farm Fresh turut menunjukkan keupayaan negara meningkatkan pengeluaran produk makanan, mengawal harga dengan pantas serta menjana hasil menerusi eksport dan pelaburan di luar negara.
Bagi mengimbangi kebajikan pengguna dengan daya maju pengeluar, Anwar berkata kelemahan lama dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan perlu ditangani dengan lebih agresif oleh agensi berkaitan. Antara langkah yang disebut ialah menyediakan akses kepada modal awal, termasuk melalui Agrobank.
Tumpuan, katanya, juga perlu diberikan kepada usaha meningkatkan hasil pengeluaran dengan memastikan bekalan input mencukupi, termasuk baja, di samping memperbaharui infrastruktur pemasaran.
Anwar turut menegaskan bahawa penyaluran dana dalam jumlah besar perlu disertai tatakelola yang tegas untuk membanteras ketirisan dan budaya pemberian komisen.
“Tatakelola jangan diabaikan kerana ketirisan dana yang keterlaluan, apabila keadaan agak sistemik buruk, apabila diambil tindakan, reaksinya amat berat dan kemarahannya meluas sebab mereka selesa dengan (menerima) komisen,” katanya.