Anwar, Fahmi ziarah jenazah A Samad Said di Bangsar

Sumber: Astro Awani
Anwar, Fahmi ziarah jenazah A Samad Said di Bangsar
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menziarahi jenazah Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said, di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, malam ini. Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, turut hadir bersama ahli keluarga, rakan penggiat seni dan jemaah.

Mereka menyertai bacaan surah Yassin dan majlis tahlil ringkas bagi mendoakan roh Allahyarham. Van yang membawa jenazah dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) tiba di perkarangan masjid malam ini dan disambut ahli keluarga, kenalan rapat serta pengamal media.

Allahyarham meninggal dunia pada usia 91 tahun di HKL pada petang Selasa. Pemergian Sasterawan Negara keempat itu disahkan anaknya, Helmy Abdul Samad, menerusi perkongsian di media sosial. “6.10 (petang). Innalillahi wainnailaihi rojiun. Bapa baru meninggal,” tulisnya.

Sebelum itu, Allahyarham dimasukkan ke wad HKL lewat petang Isnin untuk menerima rawatan akibat sakit tua, selain menghidap diabetes dan jangkitan paru-paru.

Anwar sebelum ini menzahirkan rasa hiba dan sayu atas pemergian tokoh kesusasteraan negara itu menerusi hantaran penghormatan di Facebook pada Selasa. Beliau berkata, “Pak Samad membantu kita memahami kehidupan mereka yang sering terpinggir dalam masyarakat, menggalakkan kita berkongsi perjuangan mereka dan mendukung harapan mereka.”

Anwar turut menyatakan kecintaan Allahyarham terhadap rakyat, keteguhannya mempertahankan bahasa Melayu dan perjuangannya demi keadilan akan terus dikenang melalui karya sastera yang dihasilkan. “Kecintaannya terhadap rakyat akan terus hidup melalui karya-karya sasteranya, begitu juga keteguhannya mempertahankan bahasa Melayu dan memperjuangkan keadilan,” katanya.