PKR Sarawak tidak bertanding PRN Sarawak, hormati muafakat dengan GPS

Kuching: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak memutuskan untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13 sebagai tanda menghormati semangat kerjasama dan muafakat politik dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Kerajaan Perpaduan. Pengumuman rasmi dibuat menerusi kenyataan bersama tiga pemimpin PKR, iaitu Penasihat PKR Sarawak Datuk Seri Hafsah Harun, Naib Presiden PKR Pusat Roland Engan dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak Mahmud Epah, hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, pertimbangan utama pendirian itu adalah sebagai tanda menghormati semangat kerjasama, muafakat dan komitmen politik dalam Kerajaan Perpaduan bagi memelihara kestabilan politik di peringkat negeri dan Persekutuan. Pendirian itu juga dilihat bertujuan memperkukuh hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak, khususnya dalam melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Pada masa sama, keputusan berkenaan juga bagi memastikan agenda pembangunan, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak terus diberikan perhatian.
PKR Sarawak juga menegaskan komitmen untuk terus menjunjung prinsip demokrasi, agenda reformasi dan keadilan sosial, mengutamakan kesejahteraan rakyat serta mengekalkan persefahaman politik yang telah dibina bersama GPS. Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak mengarahkan semua jentera dan pimpinan parti di peringkat negeri mematuhi serta menghormati ketetapan berkenaan. Mereka turut diminta terus menjaga hubungan baik dengan rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya GPS. “PKR Sarawak akan terus melaksanakan tanggungjawab serta khidmat bakti kepada rakyat Sarawak tanpa mengabaikan peranannya di negeri ini,” kata kenyataan bersama itu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 12 Disember sebagai hari pengundian PRN Sarawak ke-13, dengan hari penamaan calon pada Sabtu ini dan pengundian awal pada 8 Disember.