Pesan Abah Tak Mahu Anak Susah Jadi Pendorong Kejayaan Muhammad Asyraf

Kuala Lumpur: Seawal usia tujuh tahun, Muhammad Asyraf Anor sudah mengusung cangkul ke sawah dan sabit ke kebun getah bagi membantu keluarga, malah pernah menangkap ikan di kolam belakang rumah untuk dijadikan hidangan kerana kesempitan hidup. Anaknya, 25 tahun, adalah anak bongsu daripada dua beradik yang kemudian berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) Pendidikan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) secara 'fast track' tahun ini.
Mengimbau perjalanan hidupnya, Muhammad Asyraf berkata dia membesar di Kampung Telok Talipon, Mukim Kubang Rotan, Kedah dengan akses pendidikan terbatas. Ibu bapanya yang hanya berkelulusan sekolah menengah sentiasa mengutamakan pelajaran anak walaupun hidup serba kekurangan. "Pernah sampai satu ketika keluarga kami tidak mempunyai wang mencukupi. Abah terpaksa membuat dua hingga tiga pekerjaan termasuk menjual ayam kampung yang dibela dan mengumpul botol serta tin terpakai, malah emak turut membantu menyulam di sawah. Kalau mahu makan pun kadangkala kami perlu berjimat sehingga menangkap ikan menggunakan pukat di kolam belakang rumah. Sejak kecil, saya sudah biasa bergelumang dengan selut bendang di bawah panas matahari," katanya kepada Harian Metro.
Menurutnya, pesanan bapanya, Anor Tambi, 60, belajar bersungguh-sungguh supaya tidak perlu melalui kesusahan sama sering menjadi pembakar semangat dirinya untuk terus mengejar kejayaan walaupun dia hanya bermula sebagai pelajar sekolah harian biasa. "Abah selalu berpesan, belajar rajin-rajin dan dapatkan pekerjaan yang baik supaya anak cucu dapat hidup senang dan tidak perlu lagi rasa susah seperti dia." Atas sebab itu, beliau belajar bersungguh-sungguh dan bergiat aktif dalam kepimpinan dan kegiatan sukarelawan sehingga pernah berjaya mendapatkan sumbangan kira-kira 150 bakul makanan dan lima komputer riba untuk membantu pelajar memerlukan.
Muhammad Asyraf juga menceritakan peluang menyertai program mobiliti ke luar negara dengan tajaan UKM Global serta sebagai wakil pelajar Malaysia yang memberi pengalaman berharga di peringkat antarabangsa. Namun, cabaran turut hadir ketika dia menamatkan latihan industri di Petronas pada penghujung Disember 2025 kerana perlu menjaga bapanya yang dimasukkan ke hospital. "Ketika itu saya memang rasa sangat sedih dan terduduk memikirkan keadaan yang berlaku tetapi saya berserah kepada Allah. Sepanjang dua minggu itu, saya bersyukur kerana berpeluang berbakti kepada abah bukan dengan wang ringgit tetapi kudrat untuk menjaganya sehingga kembali pulih," katanya.
Dia akhirnya menukar tempat latihan industri dengan bantuan pensyarahnya sebelum berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.70 dan dinobatkan sebagai penerima Anugerah Alumni (Sains Sosial) pada Istiadat Konvokesyen UKM Ke-54. Katanya, kecemerlangan itu juga melayakkannya meraih penajaan daripada Yayasan Sime Darby menerusi Kursi Kelestarian UKM-YSD untuk meneruskan pengajian ke peringkat PhD Pendidikan.
" Dulu saya membesar dalam serba kekurangan tetapi hari ini Allah membuka jalan untuk saya menyambung pengajian PhD secara 'fast track' supaya saya nanti dapat melahirkan generasi yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara, bangsa dan agama," katanya. Beliau menegaskan kejayaan ini didedikkan kepada mereka yang sentiasa menyokong perjalanan hidupnya kerana tanpa pengorbanan emak, abah, keluarga serta sokongan pensyarah dan sahabat, mungkin tidak sampai ke tahap ini.
Kepada generasi muda, Muhammad Asyraf menasihatkan agar niat yang ikhlas dan tekad yang bulat, meskipun perjalanan hidup penuh cabaran, tidak berhenti berusaha kerana insya-Allah destinasi yang diimpikan akan tercapai. Beliau berharap kejayaan ini menjadi teladan untuk melahirkan generasi yang dapat menyumbang kepada pembangunan negara, bangsa dan agama.