Pereka grafik mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan

SEREMBAN: Seorang pereka grafik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 17 tahun dan dua pertuduhan memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak membabitkan remaja sama.
Hisbani Hairizal Shamsul Bahari, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan secara berasingan. Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja itu di Nilai pada 11 malam, 17 November lalu.
Bagi pertuduhan itu, Hisbani didakwa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792). Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Dua lagi pertuduhan menyatakan tertuduh memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak membabitkan remaja sama dalam bentuk gambar dan video. Kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi dan waktu yang sama. Hisbani didakwa mengikut Seksyen 10 Akta 792, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain dua syarat tambahan. Peguam Nurhusna Mohd Tharimazi dalam rayuan mitigasi memohon hukuman serendahnya, sekitar RM12,000 bagi semua pertuduhan.
Beliau memaklumkan anak guamnya menghidap kencing manis dan kolesterol tinggi serta masih mengambil ubat. Hisbani juga mempunyai isteri dan menanggung ibu bapanya.
Hakim membenarkan jaminan RM12,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan. Syarat jaminan termasuk tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa atau saksi pendakwaan, perlu melapor diri di balai polis setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula bagi serahan dokumen ditetapkan pada 22 Disember.