Zahid: Perbezaan politik tidak ganggu pentadbiran kerajaan

Sumber: Astro Awani
Zahid: Perbezaan politik tidak ganggu pentadbiran kerajaan
Gambar: Astro Awani

BALI: Perbezaan pendirian politik antara parti dalam Kerajaan Persekutuan tidak menjejaskan pentadbiran negara, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Bali hari ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata kematangan politik membolehkan pemimpin parti mengetepikan perbezaan masing-masing ketika melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara.

“Apabila mengurus kerajaan, kita ketepikan perbezaan-perbezaan itu dan apabila kita membincangkan perkara-perkara yang terkait dengan isu nasional, kita sangat profesional dan tidak sekalipun ada perbezaan pendapat,” katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas keputusan Konvensyen Nasional 2026 Amanah pada Ahad lepas yang meluluskan usul supaya parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 tanpa kerjasama BN. Usul itu mendapat sokongan hampir kesemua perwakilan.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu sebelum ini berkata ketetapan itu merupakan saranan parti yang akan dibawa ke Majlis Presiden PH. Keputusan muktamad mengenai kerjasama berkenaan, katanya, perlu dibuat pada peringkat gabungan itu.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, tiba di Bali semalam untuk memulakan lawatan kerja lima hari ke Indonesia. Lawatan itu merangkumi beberapa agenda di Bali dan Jakarta.

Beliau dijadual berangkat ke Jakarta hari ini.