Perak perkasa masjid sebagai hab ilmu dan literasi digital

Sumber: Astro Awani
Perak perkasa masjid sebagai hab ilmu dan literasi digital
Gambar: Astro Awani

IPOH: Kerajaan Negeri Perak memperkukuh peranan masjid sebagai hab penyatuan ummah, pembangunan ilmu dan literasi digital komuniti menerusi tiga teras utama, kata Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Beliau berkata usaha itu dilaksanakan melalui Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta agensi berkaitan seperti Digital Perak, selaras dengan agenda pendigitalan di bawah Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030. Inisiatif berkenaan menyasarkan manfaat teknologi dapat dinikmati masyarakat setempat, termasuk belia, pelajar dan usahawan kecil.

Teras pertama memberi tumpuan kepada penyediaan infrastruktur dan kemudahan digital di masjid. Antaranya ialah Perpustakaan Digital Masjid di Masjid An-Nur, Kampar yang dilengkapi komputer dan akses Internet bagi menggalakkan budaya ilmu serta pembelajaran digital.

Kerajaan negeri turut mempergiat projek rintis Masjid Pintar atau Smart Masjid yang menggunakan teknologi Internet Benda (IoT), selain memperluas capaian jalur lebar di masjid luar bandar. Langkah itu bertujuan memastikan ahli kariah mendapat kemudahan asas digital.

Saarani berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dr Mohamad Yusri Bakir (BN-Ayer Kuning) mengenai perancangan menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan ilmu, literasi teknologi dan kemudahan digital untuk komuniti luar bandar.

Di bawah teras kedua, kerajaan negeri memperluas kerjasama strategik antara pengurusan masjid dengan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di bawah Kementerian Komunikasi, institusi pengajian tinggi dan syarikat korporat. Tumpuan turut diberikan kepada bengkel literasi kecerdasan buatan (AI) untuk komuniti luar bandar.

Teras ketiga pula melibatkan pembudayaan teknologi berteraskan nilai dan etika Islam. Saarani berkata kerajaan negeri memandang serius penggunaan teknologi secara beretika, manakala JAIPk mula meneroka penggunaan AI dalam penyampaian perkhidmatan agama dan syariah di Perak.