Pelajar warga Libya mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pandu melulu

Sumber: Sinar Harian

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar universiti swasta warga Libya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera, Sabtu lepas.

Ali Abdul Rahman Mahmoud Elmaki, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris. Dia didakwa memandu sebuah kereta Proton Saga dari arah Wangsa Maju menuju ke Taman Keramat secara melulu dan membahayakan.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan kematian Mohd Hairezam Omar, 43, di Jalan Jelatek pada 1 pagi, 21 November. Pertuduhan terhadap Ali dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, mencadangkan jaminan RM70,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam K. Ramalingam, yang mewakili Ali, memohon jaminan RM10,000. Beliau memaklumkan anak guamnya ialah pelajar peringkat sarjana yang akan menduduki peperiksaan bulan depan, tinggal di Malaysia bersama isterinya dan mempunyai alamat kediaman tetap di Jalan Ampang.

Majistret Amalina Johar membenarkan Ali diikat jamin RM17,000 dengan dua penjamin warganegara. Mahkamah turut mengarahkan pasportnya diserahkan dan menetapkan dia perlu melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran.

Lesen memandu Ali digantung sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 28 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.