Penulis, penterjemah perlu pulangan setimpal – Fadhlina

Kuala Lumpur: Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek, menyeru penyokong ekosistem industri perbukuan negara agar menilai kejayaan industri ini berdasarkan kedudukan ekonomi dan kebajikan penggiatnya, bukan sekadar angka jualan, jumlah penerbitan atau saiz pasaran. Beliau berkata pulangan setimpal daripada hasil intelektual perlu diberikan kepada penulis, penterjemah dan penerbit kecil bagi memastikan mereka berpeluang berkembang dan menjana pendapatan melalui karya masing-masing.
Beliau mengemukakan pandangan itu ketika berucap sempena Majlis Peluncuran Dasar Perbukuan Negara (DPN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). DPN diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Ogos 2026 sebagai dasar nasional yang menambahbaik serta menjenamakan semula kepada Dasar Buku Negara (DBN) 1985. Ia bertujuan memperkukuh budaya membaca serta memperkasakan industri perbukuan negara agar lebih progresif, mampan dan berdaya saing di peringkat global.
Fadhlina turut menyorot perlindungan hak cipta dan persekitaran industri yang mampan sebagai elemen utama bagi memastikan penggiat industri berpeluang hidup daripada hasil karya mereka. Beliau berkata pengkarya perlu dihargai, penerbit baru diberikan ruang, dan tenaga kerja industri dipersiapkan dengan kemahiran yang sesuai dengan perubahan zaman. “Kita mahu industri ini menjana pekerjaan, mengembangkan bakat dan menyumbang kepada ekonomi kreatif negara,” tambahnya.
Mengenai cabaran industri, beliau mengemukakan persoalan berkaitan pulangan setimpal kepada penterjemah dan peluang bertahan bagi penerbit kecil. “Adakah penterjemah mendapat pulangan yang setimpal dengan kepakaran mereka? Penterjemah adalah pakar. Mereka melalui proses untuk menjadi seorang penterjemah ini bukan mudah. Adakah penerbit kecil mempunyai peluang untuk bertahan dan berkembang? Ini semua persoalan yang harus kita tanya, dan industri yang kukuh mesti memberikan ruang kepada pengkarya untuk hidup dengan hasil intelektual mereka,” katanya.
Dalam konteks aspirasi nasional, Fadhlina menegaskan DPN tidak hanya berorientasikan pasaran domestik. Beliau bertekad industri perbukuan tempatan mampu membawa karya Malaysia ke peringkat antarabangsa melalui pengukuhan penterjemahan dan perdagangan hak cipta. “Kita mahu lebih banyak penerbit Malaysia menjalin kerjasama dengan rakan antarabangsa. Kita mahu buku Malaysia diterbitkan di luar negara, menemui pembaca baru dan mendapat tempat dalam pasaran dunia,” ujarnya.
Beliau turut menekankan peluang bagi meneroka terjemahan antarabangsa sebagai contoh bagaimana karya tempatan boleh dikenali melalui bahasa lain. “Kebetulan saya kebelakangan ini banyak membaca tulisan penulis Korea. Jadi itu satu ruang yang sangat baik saya melihat bagaimana terjemahan dilakukan dari bahasa Korea kepada bahasa Inggeris dan kemudiannya bahasa Melayu,” tambahnya.
Mengenai budaya membaca dalam kalangan masyarakat, Fadhlina berkata terdapat cabaran daripada tabiat generasi muda yang membaca secara sepintas lalu atau “hasty readers” serta menumpukan kandungan digital tanpa memberi tumpuan kepada bacaan mendalam. Walaupun terdapat peningkatan pembacaan melalui keputusan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA), beliau menegaskan perlunya pendekatan “deep reading” bagi membina keupayaan memahami, menilai dan menguasai ilmu.