Debat Dewan Rakyat fokuskan pembangunan REE, usaha halang penipuan dalam talian

Sumber: Harian Metro
Debat Dewan Rakyat fokuskan pembangunan REE, usaha halang penipuan dalam talian
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Pembangunan sumber unsur nadir bumi (REE) dan usaha membanteras penipuan dalam talian antara isu yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini. Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) meminta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyatakan pelan kerajaan dalam membangunkan sumber REE secara terkawal serta mampan pada sesi soal jawab. Beliau juga ingin mengetahui negeri yang mempunyai sumber REE terbesar, anggaran rizab, nilai ekonomi, kaedah perlombongan dan mekanisme pemantauan alam sekitar.

Selain itu, V Ganabatirau (PH-Klang) bertanya kepada Menteri Dalam Negeri mengenai perkembangan terkini usaha kerajaan membanteras penipuan dalam talian dan akaun keldai termasuk jumlah kerugian dialami rakyat Malaysia sejak 2023. Beliau meminta perincian mengenai jumlah wang berjaya dibekukan atau dipulangkan, kadar pendakwaan dan langkah mempercepat pembekuan transaksi mencurigakan sebelum wang dipindahkan ke luar negara.

Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) pula mahu Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyatakan mekanisme kerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan kompetitif di luar bandar termasuk padanan pekerjaan dengan keperluan industri setempat bagi mengurangkan penghijrahan anak muda. Sementara itu, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN-Parit Buntar) mengutarakan soalan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengenai impak program Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Rural Business Challenge (RBC) terhadap peningkatan pendapatan usahawan luar bandar dalam tempoh tiga tahun terkini. Beliau juga meminta penjelasan mengenai inisiatif terbaharu kementerian dalam usaha membantu produk desa menembusi pasaran e-dagang.

Selesai sesi soal jawab, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 di peringkat jawatankuasa. Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan itu dijadual berlangsung hingga esok.