Peniaga durian rugi hampir setengah juta terpedaya pelaburan AI
KUANTAN – Seorang peniaga durian menjadi korban skim pelaburan berasaskan kecerdasan buatan (AI) selepas kerugian RM450,879.40, dipercayai susulan penyertaan dalam pelaburan pusingan wang melalui aplikasi janaan AI. Mangsa yang berkenalan dengan individu menerusi aplikasi Telegram pada 30 Oktober lalu telah diarahkan melayari sebuah laman web untuk memulakan pelaburan, sebelum membuat beberapa transaksi sepanjang tempoh pelaburan.
Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abd Rahman, berkata bermula 4 November lalu, mangsa telah beberapa kali memasukkan wang bagi tujuan pelaburan, bayaran yuran, penambahan nilai pelaburan serta denda akibat kelewatan membuat penambahan pelaburan. Sehingga laporan polis dibuat, pengadu telah melakukan sebanyak 22 transaksi membabitkan 12 akaun bank berlainan dengan jumlah kerugian RM450,879.40.
Beliau menambah mangsa menyedari dirinya diperdaya selepas diminta memasukkan wang tambahan kononnya bagi tujuan pengeluaran modal pelaburan yang telah dibuat. Mangsa kemudiannya tampil membuat laporan polis selepas menyedari ditipu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mohd Shahril menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat, terutama jika dilakukan secara tergesa-gesa. Beliau menggesa semak latar belakang pelaburan dan memastikan pelaburan yang disertai disahkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM). “Sekiranya terdapat sebarang urusan pindahan wang yang mencurigakan, orang ramai dinasihatkan membuat semakan nombor akaun, nombor telefon atau nama syarikat menerusi laman web https://semakmule.rmp.gov.my. Orang ramai juga boleh melaporkan kejadian penipuan kepada Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997,” katanya.