Penganggur didakwa bunuh ibu

Sumber: Harian Metro
Penganggur didakwa bunuh ibu
Gambar: Harian Metro

Kuala Langat: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini, semalam, atas pertuduhan membunuh seorang wanita berkenaan. Tertuduh, S M Madavan, 27, didakwa membunuh V Kanagavalli, 51, di rumah di Taman Banting Baru, antara 2.30 pagi hingga 3.30 pagi, 13 November lalu. Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, jika sabit kesalahan. Sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, tertuduh juga hendaklah dikenakan hukuman sebatan tidak kurang daripada 12 kali. Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Maslinda Selamat, namun tiada pengakuan direkodkan berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 19 Januari depan untuk sebutan semula kes. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Syafiq Yazid. Pada 14 November lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi, dilaporkan berkata suspek yang ditahan bagi membantu siasatan kematian ibunya didapati positif dadah jenis methamphetamine. Beliau berkata polis menerima maklumat mengenai seorang wanita ditemukan meninggal dunia menerusi pusat panggilan kecemasan MERS 999.

Suspek sebelum itu direman tujuh hari bagi membantu siasatan.