Pengalaman Sukan Asia jadi pemangkin kecemerlangan Lucas

Kuala Lumpur: Peluncur ombak negara Lucas Santiago Wehle berharap pengalaman beraksi pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 menjadi batu loncatan untuk meraih podium pada Kejohanan Luncur Ombak Asia tahun depan. Atlet berusia 17 tahun itu berkata penampilan sulung pada temasya sukan itu membuka matanya tentang tahap persaingan untuk menyaingi peluncur ombak terbaik Asia, sekali gus menyemarakkan semangat mencipta kejayaan di pentas antarabangsa.
Lucas menduduki tempat kesembilan dalam acara shortboard lelaki, berkongsi kedudukan bersama tujuh peluncur lain selepas tamat pusingan ketiga. Pencapaian itu hadir selepas kejayaan pada Kejohanan Luncur Ombak Asia 2025 di Mahabalipuram, India apabila dia menjadi peluncur ombak Malaysia pertama yang mara ke peringkat suku akhir kategori lelaki bawah 18 tahun dan senior. Pencapaian tersebut membolehkan dia mengumpul mata bagi melayakkan Malaysia menempah tiket pada Sukan Asia 2026, sekali gus menjadi pencapaian penting dalam kariernya serta membuka peluang untuk bersaing dengan beberapa nama besar di rantau ini.
Menjelang Kejohanan Luncur Ombak Asia, Lucas percaya dia mempunyai peluang cerah kerana beberapa peluncur ombak yang mengatasinya pada edisi terdahulu tidak lagi layak bertanding. "Pada kejohanan lalu, saya berjaya mara ke suku akhir kategori remaja ketika berusia 16 tahun, kerana saya lahir pada 2009. Semua peserta lain lahir pada 2008, iaitu setahun lebih tua berbanding saya. Memandangkan pertandingan itu bagi kategori bawah 18 tahun, mereka yang lahir pada 2008 tidak lagi layak bertanding dalam kategori remaja pada tahun depan," katanya.
Dia yang dilahirkan di Kuala Lumpur dan ibunya ialah warga Malaysia, manakala bapanya berasal dari Jerman, mula mendapat pendedahan kepada sukan luncur ombak oleh bapanya sejak berusia empat tahun. Dibesarkan di Ericeira, Portugal, bandar yang terkenal dengan sukan luncur ombak memberikan dia kelebihan dalam sukan ini. Mengimbau bagaimana dia mula menjinakkan diri dalam sukan ini di Malaysia, Lucas berkata semuanya bermula menerusi satu pertemuan tidak dijangka ketika bercuti bersama keluarga di Cherating, Pahang. "Pelawaan seorang remaja tempatan ketika itu akhirnya mendorongnya untuk menyertai beberapa pertandingan sebelum melebarkan sayap ke peringkat serantau," katanya.
Antara peluncur ombak yang menjadi inspirasinya ialah Kanoa Igarashi dari Jepun, peserta Jelajah Dunia yang ditemuinya di Portugal sebelum mereka berpeluang bersaing dalam acara sama pada Sukan Asia. Selain menyasarkan kejayaan pada peringkat Asia, Lucas turut mendambakan untuk beraksi pada Sukan Olimpik, dengan Los Angeles 2028 terus menjadi sasarannya. Namun, dia beranggapan edisi 2032 sebagai sasaran yang lebih realistik bagi memberinya masa untuk mematangkan diri, menimba pengalaman dan meningkatkan prestasi.