Pemergian Pak Samad Said: kehilangan besar buat kesusasteraan negara - Fahmi

Kuala Lumpur: Pemergian Sasterawan Negara ke-4, Datuk Seri A Samad Said, disifatkan sebagai kehilangan besar buat dunia kesusasteraan dan kebudayaan tanah air. Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata walaupun jasad Allahyarham sudah pergi, suara, pemikiran serta perjuangannya tidak akan sekali-kali terpadam.
Menurut Fahmi, sepanjang hayatnya, Allahyarham telah mengabdikan diri kepada bahasa dan sastera, bukan sekadar melalui penulisan tetapi juga dengan merakam denyut nadi kehidupan, pergolakan masyarakat serta perjalanan bangsa melalui mata seorang sasterawan. Deretan naskhah hebat hasil sentuhan Allahyarham akan terus menjadi rujukan serta menghiasi khazanah sastera negara merentasi zaman.
Fahmi menyebut karya agung Allahyarham seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu dan Hujan Pagi sebagai antara tulisan yang hingga kini menghiasi khazanah sastera negara. Di dalamnya tersimpan kisah manusia, kepayahan hidup, perjuangan dan realiti masyarakat yang akan tetap dibaca, dihayati dan dikenang oleh generasi demi generasi. Sesungguhnya, jasad seorang sasterawan mungkin sudah pergi, namun suara, pemikiran dan perjuangannya tidak akan sama sekali terpadam, katanya.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan rapat Allahyarham. "Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan sahabat handai Allahyarham. Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham, menerima segala amal kebajikannya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah," katanya.