Pemandu lori tidak mengaku bersalah pukul isterinya guna papan seterika di Seremban
Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu berhubung pertuduhan memukul isterinya menggunakan papan seterika. Tertuduh, Muhammad Haiqal Saleh, 26, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Haiqal dengan sengaja mencederakan isterinya yang berusia 26 tahun dengan cara memukul bahagian belakang badan menggunakan papan seterika sehingga cedera. Kesalahan itu didakwa berlaku pada 22 November 2026 kira-kira jam 6.40 petang di sebuah bilik di Seremban Prima Central, Seremban.
Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni, menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat laporan diri bulanan di balai polis berhampiran sehingga kes selesai, serta tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan. Beliau juga memohon perintah menghalang tertuduh daripada mendekati mangsa sepanjang kes berjalan.
Peguam Muhammad Haiqal, Asmawi Ismail, berkata tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori berpendapatan antara RM3,000 hingga RM4,000 seharusnya menjadi pencari nafkah tunggal keluarga. Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 dengan syarat tambahan seperti diminta pihak pendakwaan, dan menyatakan jika tertuduh didapati mengganggu mangsa, jaminan tersebut boleh dibatalkan. Tarikh sebutan berikutnya ditetapkan 22 Disember.