Juruteknik Hungary beri peluang kedua kepada 5,000 televisyen lama

KEREPES, Hungary: Seorang juruteknik televisyen, Attila Ellenbacher, mengumpul dan membaiki televisyen terpakai sebelum menyumbangkannya secara percuma kepada hospital selama 14 tahun menerusi yayasan “Don't Throw It Away”.
Menurut laporan AFP, inisiatif itu bermula selepas peralihan kepada siaran digital di Hungary pada 2012 menyebabkan ribuan televisyen analog tidak lagi digunakan. Ellenbacher kemudian membaiki set televisyen yang masih boleh berfungsi untuk disalurkan kepada hospital.
Sehingga kini, sebanyak 5,000 televisyen yang dibaik pulih sudah disumbangkan kepada hospital di seluruh negara. Kemudahan itu membantu pesakit mendapatkan hiburan sepanjang tempoh rawatan, selain mengurangkan beban kewangan hospital yang mempunyai bajet terhad.
Ellenbacher berkata, usaha itu bukan sahaja memanjangkan jangka hayat peralatan elektronik yang masih berfungsi, malah membantu mengurangkan sisa elektronik dan pelepasan karbon daripada pengeluaran televisyen baharu.
Pengarah Hospital Szent Ferenc di Budapest, Dr Emil Toldy-Schedel, berkata hospitalnya menerima lebih 100 televisyen yang dibaik pulih daripada Ellenbacher. Sumbangan itu membolehkan pesakit menikmati kemudahan hiburan yang sukar disediakan menggunakan bajet hospital.
Pesakit hospital, Jozsef Deka, pula menyifatkan televisyen berkenaan sebagai kemudahan yang membantu mengurangkan kebosanan ketika menjalani rawatan. Rakaman video AFP menunjukkan Ellenbacher membaiki televisyen lama.