Pelan induk pembangunan bersepadu sempadan Malaysia-Thailand diperinci

Sumber: Harian Metro
Pelan induk pembangunan bersepadu sempadan Malaysia-Thailand diperinci
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Kajian Pembangunan Zon Ekonomi Kawasan Sempadan Utara Semenanjung Malaysia oleh Kementerian Ekonomi menjadi asas pembentukan pelan induk pembangunan bersepadu bagi kawasan sempadan Malaysia–Thailand. Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pelan induk itu akan menjadi panduan pembangunan di Kelantan, Kedah, Perak dan Perlis melalui penggabungan zon ekonomi, jaringan jalan raya, rel serta aktiviti perdagangan dan pelancongan. Beliau menambah pelan induk berkenaan turut mengambil kira keutamaan pembangunan dan kepentingan ekonomi bagi kedua-dua negara sempadan.

Tumpuan utama katanya ialah kepada kelebihan ekonomi Malaysia dan Thailand yang saling melengkapi, khususnya dalam sektor agromakanan, produk halal serta industri hiliran getah. Bekalan bahan mentah dan agromakanan dari Thailand berpotensi menyokong aktiviti pemprosesan bernilai tinggi di Malaysia. Pada masa sama, ekosistem halal dan rangkaian logistik rantaian sejuk dapat memperluas akses produk ke Thailand serta pasaran antarabangsa, ujarnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen, malam tadi.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) mengenai pelan induk kerajaan untuk membangunkan sempadan Malaysia–Thailand sebagai koridor ekonomi strategik yang mengintegrasikan zon ekonomi khas, jaringan jalan raya dan rel, perdagangan serta pelancongan khususnya bagi meningkatkan pembangunan Kelantan, Kedah dan Perlis. Akmal Nasrullah berkata sinergi itu membuka peluang kepada perusahaan tempatan untuk menyertai rantaian bekalan serantau, di samping menjana pekerjaan dan pendapatan kepada penduduk setempat.

Katanya, bagi menyokong kegiatan ekonomi ini, tumpuan turut diberikan kepada infrastruktur logistik bersepadu yang merangkumi jaringan jalan raya dan rel. Pintu sempadan utama seperti Rantau Panjang, Bukit Kayu Hitam dan Padang Besar menghubungkan kawasan perindustrian, pusat logistik serta pelabuhan. Pembangunan Perlis Inland Port (PIP) memperkukuh keupayaan pengendalian juga pengedaran kargo darat. Selain itu, cadangan sambungan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu ke Rantau Panjang berpotensi memperluas hubungan logistik dengan Thailand.

Di peringkat dua hala, beliau berkata pembangunan di kedua-dua belah sempadan perlu diselaraskan supaya kawasan ekonomi, infrastruktur dan kegiatan perdagangan saling melengkapi serta memberikan manfaat bersama. “Kerjasama melalui Jawatankuasa Malaysia–Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan (JDS) dan Segitiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia–Thailand (IMT-GT) menyokong usaha ini. Matlamatnya adalah untuk meningkatkan kesejahteraan penduduk dan merapatkan jurang pembangunan wilayah,” katanya.