Pelajar Libya didakwa pandu melulu sebabkan kematian pesara tentera

Seorang pelajar universiti swasta warga Libya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian seorang pesara tentera pada Sabtu lepas. Ali Abdul Rahman Mahmoud Elmaki, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris terhadapnya.
Dia dituduh memandu kereta Proton Saga dari arah Wangsa Maju menghala ke Taman Keramat secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kematian Mohd Hairezam Omar, 43, di Jalan Jelatek pada jam 1 pagi, 21 November. Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM70,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan mengikut Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah. Namun, peguam K. Ramalingam yang mewakili tertuduh memohon jaminan RM10,000 dengan alasan anak guamnya ialah pelajar peringkat sarjana yang akan menduduki peperiksaan bulan depan serta tinggal di negara ini bersama isteri dan mempunyai alamat kediaman tetap di Jalan Ampang.
Majistret Amalina Johar kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM17,000 dengan dua penjamin warganegara dan menetapkan syarat tambahan supaya pasport lelaki itu diserahkan kepada mahkamah serta melaporkan diri setiap bulan di balai polis berhampiran. Lesen memandu tertuduh turut digantung sehingga kes selesai, dan mahkamah menetapkan 28 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.