Pegawai kementerian China dihukum mati kerana bocor rahsia negara kepada perisik asing

Beijing: Mahkamah di China menjatuhkan hukuman mati terhadap seorang pegawai kementerian selepas didapati bersalah mengintip bagi pihak sebuah negara asing dan membocorkan maklumat rahsia negara sebagai pertukaran untuk mendapatkan bayaran. Lelaki berkenaan dikenali dengan nama keluarga Ma, yang direkrut oleh agensi perisikan asing ketika bertugas di luar negara. Laporan menyatakan Ma terlibat dalam aktiviti perisikan atas sebab bayaran, sebagaimana dilaporkan melalui akaun dalam talian yang dikendalikan Gold Wall Press, syarikat penerbitan yang mempunyai kaitan dengan Pentadbiran Kebangsaan bagi Perlindungan Rahsia Negara China.
Individu yang merekrut Ma dikenali sebagai Kailin, yang sering bertemu dengannya pada peringkat awal untuk mempelajari bahasa Cina. Laporan menyatakan Kailin kemudiannya beralih membincangkan topik sensitif dari segi politik, dengan usaha mendapatkan butiran mengenai operasi dan kakitangan warga China di negara lain, tanpa menyatakan negara yang terlibat. Menurut laporan itu juga, Ma mendedahkan sejumlah besar maklumat sensitif mengenai institusi kerajaan China di negara yang tidak didedahkan identitinya.
Kailin kemudian memperkenalkan Ma kepada seorang rakan sekerjanya, yang didakwa mengugut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa China bahawa Ma telah membocorkan maklumat jika tidak bersetuju untuk bekerjasama. Ma akhirnya bersetuju bekerja untuk rangkaian perisikan asing tersebut dan menandatangani satu perjanjian kerjasama yang memuatkan klausa mengenai kerahsiaan dan kesetiaan. Sebagai balasan, beliau menerima bayaran bulanan serta sebuah komputer riba untuk tujuan menghantar dan menerima maklumat perisikan, menurut laporan tersebut.
Ma kembali ke China selepas menamatkan penugasannya di luar negara dan memulakan kerjaya perisikan jangka panjang. Laporan itu menyatakan bahawa beliau akan mengambil kandungan yang relevan daripada dokumen dan bahan sulit yang ditemuinya semasa bekerja, lalu menyusunnya pada waktu malam selepas pulang ke rumah serta menghantarnya melalui laman web perisikan. Dalam tempoh itu, Ma didakwa mencuri dan membocorkan lebih daripada 100 maklumat perisikan, namun laporan tidak menjelaskan bagaimana, bila, atau berapa lama kegiatan tersebut berlangsung.
Laporan tambahan menyebut bahawa Ma akhirnya ditangkap dan mahkamah mendapati beliau telah menerima lebih daripada satu juta yuan (RM616,850) sebagai pertukaran bagi 35 maklumat, sebahagian daripadanya dikategori sebagai "rahsia besar". Namun laporan tidak menyatakan bila atau di mana hukuman dijatuhkan, atau sama ada beliau telah dihukum mati. Mahkamah China jarang mendedahkan maklumat mengenai kes keselamatan negara, dan laporan menyifatkan kes itu sebagai satu peringatan tegas mengenai taktik perisikan yang semakin licik, termasuk manipulasi emosi dan pemerasan.