PDRM diminta gerakkan segala sumber siasat dakwaan kebocoran minit pengampunan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta menggerakkan segala sumber yang ada untuk menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berkaitan Datuk Seri Najib Razak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini sudah menjelaskan dua perkara utama berhubung isu itu di Parlimen.
Beliau berkata, perkara pertama ialah keputusan menyahklasifikasikan minit mesyuarat berkenaan bagi membantu Peguam Negara menyediakan afidavit untuk kes semakan kehakiman yang difailkan Majlis Peguam Malaysia di mahkamah.
Perkara kedua, katanya, ialah arahan Perdana Menteri supaya polis memulakan siasatan sekiranya benar berlaku kebocoran. Saifuddin berkata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail, perlu menggerakkan segala sumber bagi mengesan perkara itu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia (AIESE27), di sini, hari ini.
Terdahulu, Anwar menafikan dakwaan kerajaan menyebarkan kepada umum minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia. Beliau turut menafikan dokumen berkaitan pengampunan bersyarat Najib diedarkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) atau Jabatan Peguam Negara (AGC).
Sebaliknya, Anwar berkata AGC hanya menyahklasifikasikan sebahagian dokumen berkaitan bekas Perdana Menteri itu sebagai persediaan menghadapi prosiding di mahkamah.
Saifuddin berkata dokumen berkenaan sudah dinyahklasifikasikan dan dikeluarkan daripada Akta Rahsia Rasmi (OSA). “Sebaik sahaja kita menyahklasifikasikannya, ini bermakna dokumen itu sudah menjadi dokumen awam. Apa pun, saya menyerahkan perkara ini kepada KPN,” katanya.