Anggota PDP di Bawang Assan keluar parti, terus sokong Wong

Sumber: Free Malaysia Today
Anggota PDP di Bawang Assan keluar parti, terus sokong Wong
Gambar: Free Malaysia Today

PETALING JAYA: Beberapa anggota Parti Demokratik Progresif (PDP) di Bawang Assan keluar parti dan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada bekas naib presiden kanan parti itu, Wong Soon Koh, yang meninggalkan PDP pada Isnin.

Anggota berkenaan terdiri daripada lima jawatankuasa khidmat di kawasan pilihan raya negeri itu. Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperuntukkan Bawang Assan kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) untuk ditandingi pada pilihan raya negeri 12 Disember.

Menurut laporan Borneo Post, mereka menyertai PDP bersama-sama Wong kerana percaya langkah itu dapat mengukuhkan GPS dan membolehkan mereka berkhidmat demi kebaikan rakyat Sarawak. Namun, mereka berkata pengalaman sepanjang berada dalam parti itu menimbulkan rasa kecewa terhadap hala tuju politik dalaman, kerjasama berpasukan dan layanan terhadap anggota akar umbi.

“Walau apa pun keadaan politik pada masa hadapan, sokongan dan keyakinan kami terhadap Wong akan kekal tidak berbelah bahagi,” kata mereka.

Anggota berkenaan turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan Presiden PDP, Tiong King Sing, yang berkempen untuk calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya negeri Sabah, Johor dan Negeri Sembilan. Mereka berkata tindakan itu berlaku walaupun GPS secara rasmi mengambil pendirian berkecuali dalam pilihan raya berkenaan, sambil menegaskan kepentingan politik Sarawak perlu sentiasa diutamakan.

Wong dan beberapa anggota lain menyertai PDP secara beramai-ramai pada 2024 selepas parti lamanya, Parti Sarawak Bersatu (PSB), dibubarkan. Wong meninggalkan PDP pada Isnin, dengan alasan parti itu sudah menyimpang daripada hala tuju politik yang mendorongnya menyertai parti berkenaan.

Beliau bagaimanapun menyatakan sokongan kepada GPS dan pengerusinya, Abang Johari Openg, serta berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi Bawang Assan.

Wong, 84, mula memenangi kerusi itu pada 1991 sebagai calon SUPP, ketika beliau merupakan pemimpin kanan parti tersebut. Beliau mengekalkan kerusi berkenaan pada 2011 sebelum meninggalkan SUPP pada 2014 berikutan pertikaian dalaman dan menubuhkan Parti Rakyat Bersatu, yang mesra Barisan Nasional.

Pada Disember 2018, parti itu dijenamakan semula sebagai PSB dan bertanding sebagai parti pembangkang dalam pilihan raya Sarawak 2021.