Patatimo Boys rai kepulangan dengan kemenangan di Syed Modi International

KUALA LUMPUR: Gandingan beregu lelaki Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri memulakan semula kerjasama mereka dengan kemenangan di Syed Modi International di Lucknow, pada Selasa, selepas menewaskan pasangan Indonesia dalam pertarungan tiga set.
Arif-Haikal bangkit daripada ketinggalan satu set untuk mengatasi Yeremia Rambitan-Patra Harapan Rindorindo, yang berada di kedudukan ke-78 dunia, dengan keputusan 15-21, 21-19, 21-17 dalam masa 53 minit.
Namun, cabaran lebih sukar menanti mereka pada pusingan kedua apabila bakal berdepan pilihan utama dari Indonesia, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin. Kemenangan itu dijangka menjadi suntikan keyakinan buat Arif-Haikal, yang diberi peluang kedua oleh jurulatih beregu lelaki kebangsaan, Herry Iman Pierngadi, selepas beberapa siri keputusan kurang memberangsangkan bersama pasangan masing-masing.
Arif dan Haikal mula bergandingan pada 2020 sebelum membawa haluan berasingan pada Februari 2023. Mereka masih memburu gelaran pertama Jelajah Dunia sebagai pasangan. Peluang terbaik mereka sebelum ini hadir pada Orleans Masters 2022, namun terpaksa menarik diri daripada final selepas Haikal disahkan positif Covid-19.
Bagi siri kejohanan di India, Arif-Haikal menyasarkan sekurang-kurangnya satu gelaran dan mara ke suku akhir dalam ketiga-tiga kejohanan yang disertai. Selain Syed Modi International, kempen mereka turut merangkumi Guwahati Masters dan Odisha Masters pada bulan depan.
Haikal mempunyai kenangan manis di India selepas memenangi gelaran Syed Modi International dan Guwahati Masters secara berturut-turut pada 2023 bersama Choong Hon Jian.
Sementara itu, pemain profesional bebas Lee Yi Bo mencatat dua kemenangan dalam pusingan kelayakan. Bersama Lau Yi Sheng, beliau menewaskan pasangan India Divyam Arora-Bhavya Chhabra 21-8, 21-16 dalam beregu lelaki. Yi Bo kemudian bergandingan dengan How Yin Xuan untuk mengatasi pasangan tuan rumah, Vishnu Kedhar Kode-Hiral Chouhan, 21-12, 21-16 dalam beregu campuran.
Yi Sheng-Yi Bo akan menentang pasangan India Abhyuday Choudhary-Ayush Makhija, manakala Yi Bo-Yin Xuan berdepan pasangan Mesir Adham Hatem Elgamal-Doha Hany pada pusingan pertama, Rabu.
Pilihan kedua perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, mengetuai cabaran Malaysia pada Rabu dengan bertemu pemain India S. Subramanian. Pilihan kelima, Justin Hoh, pula menentang seorang lagi wakil tuan rumah, Tushar Suveer. Eogene Ewe akan bertemu Riku Hatano dari Jepun, sementara Cheam June Wei dan Aidil Sholeh masing-masing berdepan pemain Indonesia Chico Aura Dwi Wardoyo dan Prahdiska Bagas Shujiwo.
Dalam perseorangan wanita, Goh Jin Wei berdepan tugas mencabar menentang pilihan kedua dari India, Tanvi Sharma. Wong Ling Ching pula akan bertemu Aakarshi Kashyap dari negara tuan rumah.