Haaland dakwa hak cap dagangan dicuri, juruelektrik Poland disaman

London: Erling Haaland memulakan tindakan undang-undang terhadap seorang juruelektrik dari Poland yang didakwa mendaftarkan nama keluarganya sebagai cap dagangan. Haaland menyedari perkara itu pada 2023 semasa cuba mendaftarkan cap dagangan EU bagi jenama peribadinya, tetapi seorang juruelektrik bernama Michael Was telah terlebih dahulu memperoleh hak ke atas nama 'Haaland'. Pendaftaran cap dagangan itu meliputi pakaian sukan, suplemen protein, minuman tenaga, beg sukan, minuman keras, yogurt, permainan kanak-kanak dan juga pakaian dalam wanita.
Panel pakar harta intelek didapati bahawa Was mengambil tindakan secara tidak adil terhadap populariti Haaland, menurut laporan berkenaan. Mahkamah kemudian membatalkan pendaftaran cap dagangan miliknya. Namun Was memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan berkenaan, dan pasukan peguam Haaland berhujah bahawa penyerang itu sudah dikenali ramai di Poland ketika Was mendaftarkan cap dagangan berkenaan serta tindakan itu dilakukan dengan niat tidak baik.
Pihak peguam Haaland menegaskan reputasi pemain itu menjadikan tindakan tersebut tidak wajar, dan menambah bahawa ia berpotensi mengelirukan pengguna serta mencemarkan imej jenama peribadinya. Sementara itu, Was mendakwa bahawa nama berkenaan adalah singkatan kepada 'High Advanced Activity Land', satu dakwaan yang dibidas oleh pakar berpendapat tiada sebab untuk mendaftarkan nama 'Haaland' sebagai cap dagangan sekiranya tiga huruf pertama nama itu adalah satu akronim.
Ini bukan kali pertama Haaland dan pasukan peguamnya mengambil tindakan undang-undang. Mereka turut menyaman sebuah syarikat penerbangan Norway awal tahun ini selepas imej rambutnya disunting pada sebuah pesawat penumpang untuk tujuan pengiklanan, menurut laporan.