MOTAC teliti dakwaan penyamaran wakil JWN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sedang mengambil langkah untuk mendapatkan pengesahan lanjut berhubung dakwaan penyamaran wakil Jabatan Warisan Negara (JWN) dan penyalahgunaan identiti pegawai kerajaan yang dikaitkan dengan urusan sebuah syarikat pelancongan.
Dakwaan itu, yang dilaporkan Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) pada 2 November lalu, membabitkan individu yang memperkenalkan diri sebagai wakil JWN. Syarikat berkenaan mendakwa menerima tempahan bagi program dikenali sebagai ‘Program Lawatan Rasmi (1 Oktober hingga 4 Oktober 2026)’, berserta dokumen yang dikatakan Pesanan Pembelian (PO).
Selain itu, komunikasi menerusi aplikasi WhatsApp dilaporkan menggunakan nama dan identiti seorang pegawai kanan MOTAC. Kementerian itu memaklumkan pihak berkuasa akan menerima kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan serta tindakan lanjut.
MOTAC mengingatkan orang ramai, syarikat pelancongan, penyedia perkhidmatan dan pihak berkepentingan supaya berhati-hati dengan urusan yang menggunakan nama kementerian, JWN atau mana-mana pegawai kerajaan.
Kementerian itu berkata penyalahgunaan nama, identiti pegawai kerajaan dan dokumen yang dikaitkan dengan urusan rasmi tanpa kebenaran boleh mengelirukan pihak berkepentingan serta menjejaskan reputasi dan kredibiliti MOTAC, JWN dan perkhidmatan awam.
Pihak yang menerima tempahan, arahan kerja atau dokumen pesanan yang dikaitkan dengan kementerian dan jabatan berkenaan disaran membuat pengesahan melalui saluran rasmi sebelum mengambil tindakan. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat pembayaran atau komitmen kewangan berdasarkan arahan, dokumen atau komunikasi yang belum disahkan.
Sebarang komunikasi atau dokumen mencurigakan perlu disemak dengan pihak berkenaan dan dilaporkan kepada pihak berkuasa jika terdapat unsur penipuan. MOTAC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan nama dan identiti kementerian, JWN atau pegawai kerajaan, serta menggesa kerjasama semua pihak bagi membendung kegiatan sedemikian dan menjaga integriti urusan rasmi.