Mohd Shuhaily tiba di mahkamah sebut semula kes cederakan dua anggota polis

Sumber: Astro Awani
Mohd Shuhaily tiba di mahkamah sebut semula kes cederakan dua anggota polis
Gambar: Astro Awani

Sepang: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi sebutan semula kes membabitkan pertuduhan mencederakan dua anggota polis. Beliau hadir pada kira-kira 8.20 pagi memakai sut berwarna biru gelap dan ditemani Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.

Pada 21 Oktober lepas, Mohd Shuhaily mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang mendakwa beliau dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis. Pertuduhan itu mengaitkan kejadian berhampiran Kaunter J, Aras 5, Terminal 1, KLIA, antara 1.27 tengah hari hingga 1.35 tengah hari pada 28 September lepas.

Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. Mahkamah sebelum ini membenarkan Mohd Shuhaily diikat jamin sebanyak RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta mengarahkan beliau hadir pada setiap prosiding perbicaraan kes berkenaan.