MKRS Training Institute pacu Malaysia jadi hab perancah serantau

Kuala Lumpur mula mencatat kemajuan baharu dalam industri perancah serantau melalui penubuhan MKRS Training Institute sebagai pusat latihan Overseas Scaffolder Training Scheme (OSTS) pertama di Asia Tenggara. Pusat latihan yang beroperasi di bawah MKRS Bumi (M) Sdn Bhd itu mendapat kelulusan daripada National Access & Scaffolding Confederation (NASC), United Kingdom (UK) serta Construction Industry Scaffolders Record Scheme (CISRS).
Presiden Persatuan Perancah Pekerjaan Malaysia (MOSA), Datuk Dr Saravanan Karrupayah, berkata OSTS merupakan inisiatif strategik bagi memperkasakan pembangunan tenaga kerja mahir dan melonjakkan kompetensi profesional industri perancah tempatan mengikut piawaian antarabangsa. Beliau menekankan bahawa langkah itu menandakan kemajuan penting dalam memperkukuh ekosistem latihan teknikal negara, khususnya bagi melahirkan tenaga kerja yang menepati keperluan industri perancah global.
"Inisiatif itu memberi manfaat kepada penggiat industri tempatan serta berpotensi menarik penyertaan tenaga kerja dan pemain industri dari negara Asia Tenggara yang memerlukan latihan selain pensijilan berstandard antarabangsa," katanya dalam kenyataan hari ini. Katanya lagi, pencapaian berkenaan mencerminkan kommitmen jangka panjang MOSA dalam memperkukuh ekosistem industri ini menerusi kerjasama antarabangsa, pembangunan institusi dan pelaburan berterusan dalam bakat serta kepakaran tempatan. Ia juga dijangka membantu meningkatkan profesionalisme industri perancah Malaysia, selain membuka peluang kepada tenaga kerja tempatan untuk menguasai kemahiran teknikal yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NASC UK, Clive Dickin, yang mencerminkan jalinan kerjasama strategik antarabangsa. Pada majlis sama, seramai 10 peserta menerima sijil program sulung Train-the-Trainer dan Lead Auditor di Malaysia menerusi kerjasama MOSA bersama NASC dan CISRS.
Sejak ditubuhkan pada 2010, MOSA berperanan memantapkan keselamatan pekerjaan, kompetensi teknikal serta pembangunan piawaian industri perancah tempatan, termasuk bekerjasama dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi menyokong Malaysian Standard MS 1462 dan Construction Industry Standards CIS 22, CIS 23 serta CIS 24. Mengulas lanjut, Saravanan memaklumkan MOSA merancang meneroka peluang pasaran antarabangsa seperti Arab Saudi menerusi penyelarasan piawaian, pemindahan teknologi serta pengukuhan kerjasama kawal selia. Beliau menegaskan pelancaran pusat latihan OSTS pertama di Asia Tenggara itu ialah langkah penting dalam menjadikan Malaysia hab latihan dan pembangunan kepakaran perancah, sambil menegaskan kepentingan kerjasama antarabangsa yang berterusan, pelaburan dalam kepakaran tempatan serta pembinaan asas profesional yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang industri.