Melaka lanjutkan caruman PERKESO untuk wartawan sambilan

Kerajaan Melaka akan meneruskan inisiatif caruman PERKESO kepada lebih 20 wartawan sambilan di negeri ini bagi memastikan golongan berkenaan mendapat perlindungan keselamatan sosial. EXCO Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Lim Ban Hong, berkata inisiatif yang diperkenalkan kerajaan negeri sejak tiga tahun lalu itu disifatkan sebagai langkah terbaik dalam menjaga kebajikan pengamal media, khususnya mereka yang berstatus sambilan. Beliau berkata beliau akan mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak berkaitan berhubung pelaksanaan inisiatif berkenaan bagi memastikan kesinambungannya.
"Saya fikir itu satu usaha yang baik. Saya difahamkan ia sudah dimulakan sebelum ini dan boleh diteruskan bagi membantu rakan media kita," katanya pada sidang media di pejabatnya di Seri Negeri, di sini, hari ini. Ban Hong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang berkata, setakat ini beliau dimaklumkan wartawan sambilan yang berkhidmat dengan pelbagai agensi media tidak menerima caruman PERKESO daripada syarikat masing-masing, berbanding petugas berstatus tetap. Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan menyemak semula pelaksanaan inisiatif berkenaan, termasuk mendapatkan perincian mengenai skop perlindungan yang disediakan PERKESO.
Beliau berkata usaha menggalakkan pencaruman secara sukarela tidak hanya tertumpu kepada pengamal media, sebaliknya turut membabitkan mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor. "Pihak saya akan mendapatkan senarai lengkap sektor pekerjaan yang dilindungi PERKESO bagi mengenal pasti bidang yang perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri," katanya. Difahamkan, terdapat lebih 20 wartawan sambilan yang berkhidmat dengan pelbagai agensi media cetak dan elektronik di Melaka, dengan sebahagian besar daripada mereka menganggotai Kelab Pengamal Media Melaka (PENDIKA).