Melaka perketat pelesenan tahunan pengayuh beca

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka memperkukuh mutu perkhidmatan pengayuh beca melalui program pelesenan tahunan dan penambahbaikan penguatkuasaan, bagi meningkatkan profesionalisme golongan itu serta memelihara imej negeri sebagai destinasi pelancongan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, berkata Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dipertanggungjawabkan mengenal pasti pengayuh yang berulang kali melanggar peraturan. Tindakan menarik balik lesen dalam tempoh 24 jam boleh dikenakan.
Beliau berkata pengayuh beca perlu mematuhi syarat dan aku janji yang dibuat sebelum lesen dikeluarkan, serta tidak menggunakan permit sewenang-wenangnya. Katanya, pematuhan itu penting kerana perkhidmatan berkenaan turut mencerminkan imej negeri.
“Ini melibatkan imej negeri Melaka. Mereka juga perlu mematuhi aku janji yang dibuat sebelum mendapat lesen dan tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan permit untuk melakukan perkara tertentu sesuka hati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Taklimat Pengayuh Beca Melaka di Bukit Serindit, di sini hari ini.
Abdul Razak berkata pengayuh beca merupakan antara barisan hadapan industri pelancongan kerana mereka menjadi individu pertama berinteraksi dengan pelancong yang berkunjung ke negeri itu. Seramai 311 pengayuh beca menerima lesen baharu selepas menyertai taklimat dan program tahunan untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran memberikan perkhidmatan.
Beliau berkata program itu membantu pengayuh menambah ilmu sebelum bertugas, khususnya dalam menyambut pelancong dan pengunjung dengan baik serta mesra.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, berkata pengayuh beca turut diberi pendedahan mengenai tatasusila, penampilan diri dan kadar caj perkhidmatan supaya mematuhi standard ditetapkan. Kerajaan negeri juga mengambil berat kebajikan lebih 300 pengayuh melalui bantuan Aidilfitri dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bernilai hampir RM170 bagi setiap individu.
Menurut Shadan, perkhidmatan beca disepadukan dalam aplikasi i-Trafik MBMB sejak setahun lepas bagi memudahkan pelancong mendapatkan khidmat itu, termasuk menghubungi pengayuh untuk mengambil mereka di hotel. Setiap beca turut dilengkapi kod respons pantas (QR) bagi membolehkan pengguna mengemukakan aduan terus kepada MBMB jika menghadapi masalah.