Media Prima catat RM186.1 juta hasil suku pertama FY2027

Kuala Lumpur: Media Prima Bhd (Media Prima), kumpulan media bersepadu terbesar di Malaysia, mencatatkan hasil RM186.1 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM630,000 bagi suku pertama tahun kewangan 2027 berakhir 30 September 2026. Walaupun menghadapi persekitaran pengiklanan yang mencabar, syarikat itu berjaya meningkatkan hasil bukan pengiklanan sebanyak 11 peratus, selari dengan pelan perniagaan tiga tahun FY2027 hingga FY2029 yang menumpukan kepada pengukuhan perniagaan teras serta pertumbuhan segmen hasil berpotensi tinggi.
Media Prima berkata prestasi itu didorong terutamanya oleh prestasi lebih kukuh dalam perniagaan beli-belah dari rumah dan jualan kandungan. Segmen beli-belah dari rumah mencatatkan peningkatan dua peratus kepada RM24.4 juta, disokong pertumbuhan jualan e-dagang sebanyak 10 peratus. Jualan kandungan pula meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM7.8 juta berbanding RM2.7 juta pada suku sama tahun sebelumnya. Sementara itu, segmen media digital mencatatkan peningkatan hasil 11 peratus kepada RM25 juta, yang disokong oleh pertumbuhan hasil pengiklanan dan perkhidmatan perkongsian antara segmen masing-masing sebanyak 10 peratus dan 12 peratus.
Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid, berkata syarikat terus mengharungi landskap media yang semakin berkembang dengan memberi tumpuan kepada keutamaan jangka panjang serta tanggungjawab terhadap pemegang taruh. “Kami komited untuk terus membina organisasi yang berdaya tahan dan bersedia menghadapi masa depan, yang mampu mewujudkan nilai mampan, mengekalkan kepercayaan masyarakat serta terus memberikan sumbangan bermakna kepada komuniti yang kami santuni. Lembaga Pengarah kekal yakin terhadap hala tuju strategik kumpulan dan keupayaan kami menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik industri,” katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali, berkata selaras dengan pelan perniagaan tiga tahun, tumpuan kekal diberikan kepada pengukuhan portfolio perniagaan melangkaui pengiklanan tradisional serta mempercepatkan pertumbuhan aliran hasil berpotensi tinggi. “Prestasi memberangsangkan dalam jualan kandungan, e-dagang dan media digital membuktikan peluang yang terhasil daripada keupayaan bersepadu kumpulan serta peningkatan nilai kandungan kami merentasi pelbagai platform. Kami akan terus memperkemas strategi komersial, memperluas peluang hasil alternatif serta meningkatkan kecemerlangan operasi,” katanya.
Dalam pada itu, Media Prima turut memperkukuh pembabitan audiens melalui penganjuran Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) yang menarik lebih 7,000 pengunjung ke Unifi Arena serta merekodkan lima bilion tontonan kumulatif merentasi pelbagai platform. Kumpulan itu juga komited terhadap tanggungjawab sosial menerusi Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP yang menyalurkan lebih RM400,000 sepanjang suku pertama tahun kewangan 2027 bagi membantu individu dan komuniti yang memerlukan. Melangkah ke hadapan, Media Prima kekal fokus terhadap pelaksanaan pelan strategik tiga tahunnya yang berpaksikan tiga keutamaan: meningkatkan kecemerlangan operasi, memperkukuh kepimpinan pasaran merentasi platform media serta meneroka peluang hasil alternatif.