MCMC saman Google, tuntut ganti rugi RM600 juta atas kandungan memudaratkan di YouTube

Sumber: Harian Metro
MCMC saman Google, tuntut ganti rugi RM600 juta atas kandungan memudaratkan di YouTube
Gambar: Harian Metro

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memulakan tindakan undang-undang terhadap Google dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta melalui dua saman berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu mengambil tindakan sewajarnya terhadap kandungan memudaratkan di YouTube. Kedua-dua saman itu masing-masing membabitkan tuntutan RM300 juta, termasuk RM100 juta bagi ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.

Saman pertama berasaskan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan berasaskan dakwaan pelanggaran peruntukan undang-undang dan syarat lesen serta kecuaian. Dalam kenyataan MCMC, tempoh pelaporan yang relevan ialah antara 1 Januari hingga 28 Oktober lalu, ketika pihak berkuasa itu mengemukakan sebanyak 74,703 laporan kepada YouTube, dengan 74,569 daripadanya (99.8 peratus) berkaitan perjudian dalam talian.

Daripada jumlah laporan berkaitan perjudian dalam talian tersebut, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan daripada platform dalam tempoh satu hari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas. Selain itu, 35 laporan mengambil masa lebih daripada 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih daripada 30 hari dari tarikh laporan dikemukakan. “Angka ini menunjukkan skala penyebaran kandungan yang memudaratkan di platform tersebut serta kelewatan dalam menangani kandungan berkenaan,” jelas MCMC.

Kenyataan itu menambah bahawa tuntutan ganti rugi bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih daripada 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan kegagalan sistemik Google, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat. “Tuntutan ini turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa, serta keperluan untuk memastikan Google dipertanggungjawabkan ketidakpatuhan yang sama daripada berulang dan mencegah saman pertama melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan dalam talian yang memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian, scam dan penipuan,” katanya.

MCMC juga menambah bahawa saman kedua berkaitan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya di bawah undang-undang dan bertindak secara proaktif berhubung penerbitan semula kandungan yang didakwa melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, yang juga dikenali sebagai Papagomo. Kandungan itu kini tertakluk kepada injunksi interim yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu. Sementara itu, MCMC menegaskan bahawa semua penyedia platform media sosial yang tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi segala kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen masing-masing.

Justeru, MCMC turut menggesa semua penyedia platform media sosial mengambil langkah sewajarnya untuk menangani kandungan yang melanggar undang-undang dan memudaratkan di platform masing-masing. “Kedua-dua saman ini adalah usaha berterusan MCMC untuk melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak, daripada ancaman dalam talian, di samping menangani penyebaran berterusan kandungan yang telah menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah,” katanya.