MCMC saman Google RM600 juta berkaitan kandungan memudaratkan dalam talian di YouTube

Sumber: Astro Awani
MCMC saman Google RM600 juta berkaitan kandungan memudaratkan dalam talian di YouTube
Gambar: Astro Awani

Putrajaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memulakan dua tindakan undang-undang terhadap Google LLC dengan tuntutan ganti rugi keseluruhan RM600 juta berhubung dakwaan kegagalan syarikat itu menangani kandungan dalam talian yang memudaratkan melalui YouTube.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan kedua-dua saman itu melibatkan perkara berbeza berkaitan dakwaan kegagalan Google mematuhi kewajipan di bawah undang-undang serta syarat lesen yang terpakai. Bagi setiap saman, MCMC menuntut ganti rugi sebanyak RM300 juta, merangkumi RM100 juta ganti rugi am, RM100 juta ganti rugi teruk dan RM100 juta ganti rugi teladan.

"Kita menuntut ganti rugi ini bertujuan mendapatkan pampasan atas penggunaan sumber dan tenaga kerja yang besar dalam menangani lebih daripada 50,000 kandungan dalam talian yang memudaratkan susulan kegagalan sistemik Google, di samping menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat," jelas kenyataan MCMC. “Tuntutan ini turut mengambil kira sifat dan kesan pelanggaran yang didakwa, serta keperluan untuk memastikan Google dipertanggungjawabkan dan mencegah ketidakpatuhan yang sama daripada berulang,” tambahnya.

Saman pertama menumpukan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah sewajarnya terhadap ribuan kandungan memudaratkan, termasuk perjudian dalam talian dan penipuan. Menurut kenyataan itu, tuntutan MCMC dalam kes ini berasaskan pelbagai dakwaan pelanggaran peruntukan undang-undang, syarat lesen yang berkaitan serta kecuaian.

MCMC memaklumkan sebanyak 74,703 laporan telah dikemukakan kepada YouTube dengan 74,569 atau 99.8 peratus daripadanya berkaitan perjudian dalam talian dalam tempoh 1 Januari hingga 28 Oktober lepas. Daripada jumlah laporan berkaitan perjudian dalam talian tersebut, sebanyak 32,781 menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan dalam tempoh satu hari, manakala 4,950 laporan tidak menerima sebarang maklum balas.

“Sebanyak 35 laporan pula mengambil masa lebih daripada 90 hari untuk menerima maklum balas atau tindakan penurunan kandungan, manakala 1,468 laporan mengambil masa lebih 30 hari dari tarikh laporan dikemukakan,” menurut kenyataan itu. Angka-angka tersebut menunjukkan skala penyebaran kandungan memudaratkan di platform itu serta kelewatan dalam menangani kandungan berkenaan, tambah MCMC.

Saman kedua pula melibatkan dakwaan kegagalan Google mengambil langkah statutori dan proaktif yang sewajarnya berhubung dengan penerbitan semula pelbagai kandungan yang melanggar undang-undang di YouTube oleh Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau lebih dikenali sebagai Papagomo. Kandungan tersebut kini tertakluk pada injunksi interim yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 19 Jun 2026, jelas kenyataan itu.

MCMC turut menegaskan bahawa semua penyedia platform media sosial yang tertakluk pada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 perlu mematuhi segala kewajipan undang-undang dan syarat lesen masing-masing. Suruhanjaya itu menggesa semua penyedia platform supaya mengambil langkah sewajarnya untuk menangani kandungan yang melanggar undang-undang serta memudaratkan di platform masing-masing.

“Kedua-dua saman ini ialah usaha berterusan MCMC untuk melindungi orang awam, khususnya kanak-kanak daripada ancaman dalam talian, di samping menangani penyebaran berterusan kandungan yang telah menjadi subjek tindakan pengawalseliaan dan campur tangan mahkamah,” menurut kenyataan itu.