MCMC saman Google RM300 juta berhubung kandungan di YouTube
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC atas dakwaan cuai membenarkan kandungan palsu berbaur fitnah yang diterbitkan semula oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo, terus disebarkan di YouTube.
Saman itu difailkan MCMC selaku plaintif terhadap syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada 23 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi di sini, melalui Tetuan Sitham & Associates.
Semakan sistem mahkamah mendapati pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini melalui e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Dalam pernyataan tuntutan, MCMC berkata pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lalu dan mengenal pasti kandungan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri serta boleh diakses menerusi YouTube.
MCMC kemudian mengeluarkan notis kepada Google pada 19 Oktober. Suruhanjaya itu mendakwa Google gagal memenuhi kewajipan statutori yang bebas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat lesennya, sehingga kandungan berkenaan terus disebarkan.
Menurut MCMC, Google juga tidak mengambil langkah proaktif yang munasabah untuk menilai dan menyiasat secara bebas kandungan yang dipertikaikan serta saluran YouTube Wan Muhammad Azri selepas menerima notis tersebut.
Suruhanjaya itu mendakwa Google gagal bertindak segera untuk mengalih keluar kandungan berkenaan atau menyahdayakan dan mengehadkan akses kepada hantaran serta saluran itu dalam tempoh munasabah selepas dimaklumkan.
MCMC turut mendakwa Google mengetahui tindakan berterusan Wan Muhammad Azri menyebarkan kandungan memudaratkan di YouTube, namun gagal, enggan atau cuai mengambil langkah sewajarnya untuk memadamkannya. Kegagalan dan keengganan mematuhi notis itu, menurut plaintif, menyebabkan kandungan berkenaan terus diterbitkan semula.
MCMC mendakwa penyebaran itu menjejaskan persepsi dan kredibiliti pemimpin negara, selain menghakis keyakinan awam. Kandungan berkenaan disifatkan sebagai palsu, mengelirukan dan tidak berasas berhubung tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta kepentingan awam.
Plaintif berkata pihaknya mengalami kerugian, kerosakan atau kemudaratan susulan kegagalan Google memadamkan kandungan yang diterbitkan dan diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri di platform itu.
Antara relif yang dimohon ialah deklarasi bahawa Google, sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan, tertakluk kepada kewajipan statutori untuk mematuhi arahan MCMC bagi mengalih keluar kandungan dan menyahdayakan akses kepadanya. MCMC juga memohon deklarasi bahawa Google melanggar kewajipan berjaga-jaga terhadap suruhanjaya itu dan pelanggan di Malaysia dengan membenarkan kandungan dalam talian yang memudaratkan serta bertentangan dengan undang-undang Malaysia kekal di YouTube.
MCMC turut memohon perintah injunksi supaya Google meneruskan tindakan menyekat akaun YouTube berkenaan. Ia juga mahu syarikat itu diarahkan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengesan dan memadamkan kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri, sama ada dimuat naik menerusi akaunnya sendiri atau akaun pihak ketiga, termasuk dalam siaran langsung di YouTube.
Dalam saman itu, MCMC menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM100 juta, atau apa-apa jumlah lain yang ditaksirkan mahkamah. Plaintif turut memohon faedah terhadap ganti rugi yang diberikan pada kadar dan bagi tempoh ditentukan mahkamah, kos prosiding atas dasar indemniti serta relif lanjut yang difikirkan wajar.