MCMC saman Google RM300 juta berhubung kandungan Papagomo di YouTube
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memfailkan saman RM300 juta terhadap Google LLC di Mahkamah Tinggi di sini pada 23 Oktober lepas, berhubung dakwaan kecuaian syarikat itu membolehkan kandungan palsu berbaur fitnah oleh penulis blog Wan Muhammad Azri Wan Deris, atau Papagomo, diterbitkan semula di YouTube.
Saman terhadap syarikat teknologi multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu dikemukakan MCMC selaku plaintif menerusi Tetuan Sitham & Associates. Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pengurusan kes ditetapkan pada 8 Disember ini secara e-semakan di hadapan Timbalan Pendaftar Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Dalam pernyataan tuntutan, MCMC berkata pihaknya menerima aduan pada 12 Ogos lepas dan mengenal pasti kandungan Wan Muhammad Azri yang diterbitkan semula serta boleh diakses menerusi YouTube.
Suruhanjaya itu kemudian mengeluarkan notis kepada Google pada 19 Oktober. MCMC mendakwa Google gagal menunaikan kewajipan statutori secara bebas di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta syarat lesennya, sehingga kandungan berkenaan terus disebarkan.
MCMC turut mendakwa Google tidak mengambil langkah proaktif yang munasabah untuk menilai dan menyiasat secara bebas kandungan dipertikaikan serta saluran YouTube Wan Muhammad Azri selepas menerima notis berkenaan.
Menurut plaintif, Google juga gagal bertindak segera untuk mengalih keluar kandungan itu, menyahdayakan atau mengehadkan akses kepada hantaran berkenaan dan saluran YouTube Wan Muhammad Azri dalam tempoh munasabah selepas dimaklumkan.
MCMC mendakwa Google mengetahui tindakan berterusan Wan Muhammad Azri menyebarkan kandungan memudaratkan di YouTube, namun gagal, enggan atau cuai mengambil langkah sewajarnya untuk memadamkannya.
Plaintif berkata kegagalan dan keengganan Google mematuhi notis itu menyebabkan kandungan berkenaan terus diterbitkan semula. MCMC mendakwa keadaan itu menjejaskan persepsi serta kredibiliti pemimpin negara dan menghakis keyakinan awam.
Menurut suruhanjaya itu, kandungan dipertikaikan adalah palsu, mengelirukan dan tidak berasas berkaitan tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta kepentingan awam. MCMC turut mendakwa pihaknya mengalami kerugian, kerosakan atau kemudaratan akibat kegagalan Google memadamkan kandungan yang diterbitkan dan diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri di platform itu.
MCMC memohon deklarasi bahawa Google, sebagai pemegang lesen penyedia perkhidmatan, tertakluk kepada kewajipan statutori untuk mematuhi arahan suruhanjaya bagi mengalih keluar kandungan serta menyahdayakan akses kepada bahan yang diterbitkan semula oleh Wan Muhammad Azri.
Suruhanjaya itu turut memohon deklarasi bahawa Google melanggar kewajipan berjaga-jaga terhadapnya dan pelanggan di Malaysia dengan membenarkan kandungan dalam talian yang memudaratkan, termasuk bahan dipertikaikan, kekal di YouTube meskipun bercanggah dengan undang-undang Malaysia.
Antara perintah injunksi yang dimohon ialah supaya Google meneruskan tindakan menyekat akaun YouTube berkenaan. MCMC juga memohon Google diarahkan mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengesan dan memadamkan kandungan serupa yang menampilkan Wan Muhammad Azri, sama ada dimuat naik melalui akaunnya sendiri atau akaun pihak ketiga, termasuk dalam sesi siaran langsung di YouTube.
MCMC turut menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan masing-masing sebanyak RM100 juta atau jumlah lain yang ditaksirkan mahkamah. Plaintif juga memohon faedah terhadap apa-apa ganti rugi yang diberikan pada kadar dan bagi tempoh ditentukan, kos prosiding atas dasar indemniti serta relif lanjut yang difikirkan wajar oleh mahkamah. – Bernama